JPNP musnahkan 5,500 pokok sawit ditanam secara haram

Jengkaut digunakan untuk memusnahkan pokok kelapa sawit yang secara haram pada Operasi Cantas di Hutan Simpan Lesong. (Gambar kecil:Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin) -.(foto ihsan JPNP).
Jengkaut digunakan untuk memusnahkan pokok kelapa sawit yang secara haram pada Operasi Cantas di Hutan Simpan Lesong. (Gambar kecil:Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin) -.(foto ihsan JPNP).
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) telah memusnahkan lebih 5,500 pokok sawit yang ditanam secara haram di atas tanah seluas 97 hektar di hutan simpan Lesong, Rompin, hari ini.

Pengarahnya, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, kerja memusnahkan pokok sawit dilakukan kerana menceroboh kawasan hutan simpan kekal.

Menurutnya, tindakan tegas perlu diambil bagi memastikan aktiviti pencerobohan hutan simpan kekal tidak terus berlaku.

“Kita tidak mahu perkara ini (pencerobohan hutan) terus berulang sehingga mengundang kemusnahan khazanah hutan di negeri ini. Malah situasi terbabit akan menyebabkan kerugian kepada kerajaan.

“Jadi kita segera bertindak dan tidak berkompromi terhadap kesalahan itu. Kita juga telah menggunakan dua jentolak serta jengkaut bagi memusnahkan tanaman sawit yang dianggarkan berumur antara tiga hingga lima tahun,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kakitangan Pejabat Hutan Daerah Rompin memotong pokok kelapa sawit yang secara haram pada Operasi Cantas di Hutan Simpan Lesong. - Foto Ihsan JPNP
Kakitangan Pejabat Hutan Daerah Rompin memotong pokok kelapa sawit yang secara haram pada Operasi Cantas di Hutan Simpan Lesong. - Foto Ihsan JPNP

Operasi cantas itu dilakukan oleh bahagian penguatkuasaan dengan 80 kakitangan daripada JPNP, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Rompin dan Pejabat Daerah Dan Tanah Rompin.

Mengulas lanjut mengenai aktiviti itu, beliau berkata, sudah beberapa kali Pejabat Hutan Daerah Rompin mengeluarkan notis menghalang kegiatan pertanian itu, namun ia tidak dipedulikan pihak terbabit.

Artikel Berkaitan:

Justeru, katanya, papan merah notis amaran diletakkan dalam kawasan ladang terbabit selepas usaha mengesan pengusaha projek terbabit gagal dilakukan.

“Kita tidak akan berkompromi dengan pihak yang melakukan kesalahan hingga memaksa operasi cantas dilakukan secara bersepadu dengan dua agensi penguat kuasa.

“Saya berharap operasi cantas yang dilakukan hari ini dapat memberi kesedaran dan ingatan kepada pihak lain supaya tidak cuba memasuki serta menceroboh hutan simpan kekal yang ada di negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Hizamri berkata, jika segelintir pihak yang masih berbuat demikian tindakan undang-undang mengikut Akta Perhutanan Negara (APN) 1984 dan Kanun Tanah Negara 1965 boleh dikenakan terhadap mereka.

Beliau menegaskan selain aktiviti pertanian, hutan simpan kekal yang akan dijadikan lokasi kegiatan perlombongan haram dan memindahkan balak tanpa lesen turut dikenakan tindakan undang-undang.

“Jadi saya minta pihak berkaitan mengambil perhatian mengenai amaran ini,” katanya.