Kacau bini orang, dua lelaki parah ditetak

Polis sedang mengesan H S Heranpal Singh untuk membantu siasatan.
Polis sedang mengesan H S Heranpal Singh untuk membantu siasatan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Akibat dipercayai cuba mengganggu isteri orang, dua lelaki parah ditetak dalam kejadian di Jalan Mutiara Raya, Cheras di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, kejadian itu diterima pihaknya pada jam 4 pagi selepas Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras menerima makluman daripada anggota ronda cegah jenayah Balai Cheras mengenai kes pergaduhan dan tetak menggunakan parang.

"Mangsa melibatkan dua lelaki tempatan berusia 22 dan 23 tahun yang parah di tangan serta belakang leher.

"Bertindak atas maklumat, polis telah menahan seorang wanita berusia 39 tahun di sekitar Cheras kira-kira jam 7.30 malam, hari yang sama untuk membantu siasatan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, siasatan awal dipercayai kes bermotifkan mangsa yang dikatakan cuba mengganggu wanita terbabit.

Katanya, susulan itu, polis giat mengesan seorang lelaki iaitu H S Heranpal Singh, 45, yang juga suami kepada wanita terbabit untuk membantu siasatan.

Tambahnya, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu

"Sekiranya mempunyai sebarang maklumat, orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan," ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.