X

Kindly register in order to view this article
!

Jawapan bertulis MB NS mengenai isu sijil halal

A
A

BERIKUT merupakan jawapan bertulis Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun mengenai isu status halal dan kebersihan ayam segar di beberapa pasar raya di Negeri Sembilan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan pada hari ini.

1. Merujuk kepada laporan Utusan Online hari ini, ‘Pasar raya di Negeri Sembilan bebas jual ayam tanpa sijil halal’ dan laporan Sinar Online hari ini yang terdahulu ‘Pengusaha pasar raya di NS bebas jual ayam tanpa sijil halal’ yang memberi tafsiran tidak tepat dan komen netizen yang menggambarkan saya seperti menggalakkan penjualan ayam tidak halal di Negeri Sembilan.

2. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan terima kasih kepada Sinar Online di atas kepekaannya berhubung isu ini dan telah menukar tajuk laporannya kepada ‘Dasar Pensijilan halal NS bersifat terbuka: Aminuddin’.

ARTIKEL BERKAITAN: Dasar pensijilan halal NS bersifat terbuka: Aminuddin

3. Ingin saya beri penjelasan umum, merujuk kepada jawapan saya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan pada hari ini berkaitan isu status halal dan kebersihan ayam segar di beberapa pasar raya di Negeri Sembilan; adalah ingin saya menjelaskan dasar pensijilan halal adalah bersifat terbuka dan sukarela malah pengusaha pasar raya bebas untuk mendapatkan bekalan ayam mentah dari mana-mana rumah sembelih sama ada yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia atau pun yang tidak mempunyai sijil halal.

4. Terdapat 2 kaedah penjualan ayam di pasar raya –pasar raya besar iaitu penjualan tanpa pembungkusan dan penjualan ayam dengan pembungkusan.

5. Ayam yang dalam pembungkusan boleh dikenalpasti status halal melalui logo halal yang tertera dan boleh disemak kesahihannya di dalam direktori www.halal.gov.my.

6. Bagi yang tiada, maka status halal tersebut adalah di luar pengetahuan JHEAINS.

7. Oleh kerana itu, JHEAINS sering menasihatkan pengguna supaya membeli ayam yang dibungkus oleh pembekal yang telah mendapat Sijil Pengesahan Halal Malaysia.

8. Pengkuatkuasaan dan pemantaun dijalankan sekiranya terdapat aduan dari orang ramai berkaitan keraguan dan penyalahgunaan tanda halal.

9. Saya ingin menjelaskan bahawa saya tidak pernah menggalakkan penjualan ayam mentah yang tidak halal di Negeri Sembilan.

10. Jawapan saya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri pada hari ini hanyalah penjelasan saya berhubung dasar pensijilan halal, kaedah penjualan ayam di pasar raya.

11. Malah jawapan saya juga menasihatkan pengguna membeli ayam yang dibungkus oleh pembekal yang telah mendapat Sijil Pengesahan Halal Malaysia.

Sekian, terima kasih.

YAB Dato’ Seri Haji Aminuddin Bin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!