Suhakam pertahan inkuiri selepas polis nafi terbabit kehilangan aktivis

Suhakam
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berkata pihaknya tidak bertindak di luar kebiasaan dalam mengeluarkan laporan berhubung kehilangan Pastor Raymond Koh Keng Joo dan aktivis sosial Amri Che Mat, selepas polis menafikan pihaknya terbabit dalam kehilangan aktivis itu.

Pemangku Pengerusi Suhakam, Jerald Joseph berkata dakwaan bahawa badan itu cuba menghukum pihak polis atau memprovokasi reaksi orang ramai serta pihak berkuasa adalah tidak munasabah.

"Sepanjang siasatan awam yang dijalankan, Suhakam menjalankan tanggungjawabnya tanpa gentar, tidak menyebelahi mana-mana pihak, tanpa prasangka atau prejudis dalam usaha untuk mengemukakan kebenaran bagi perkara yang melibatkan kepentingan awam dan ini amat diperlukan dalam pelaksanaan demokrasi di Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hari ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menafikan Cawangan Khas Bukit Aman terbabit dalam kehilangan Amri susulan kesimpulan dibuat Suhakam selepas inkuiri selama 18 bulan.

Katanya individu yang dilaporkan pihak Suhakam itu sebenarnya pegawai awam yang ditempatkan di Cawangan Khas Bukit Aman Polis Diraja Malaysia.

"Hasil siasatan mendapati individu itu bukanlah pegawai polis dari Cawangan Khas. Malah individu itu juga telah berhenti daripada tugasnya," kata Mohamad Fuzi.

Sebelum ini, pada 3 April lalu, Suhakam merumuskan laporan siasatan Cawangan Khas terbabit dalam kehilangan paksa Amri dan Koh.

Joseph berkata sejak penubuhannya, Suhakam telah menjalankan sembilan siasatan awam dan kandungan setiap laporan siasatan awam disiarkan secara terbuka dan boleh diakses oleh orang awam dan media setelah siasatan tamat dijalankan.

“Lebih-lebih lagi, tiada dalam peruntukan undang-undang yang memerlukan laporan dikemukakan kepada pihak polis terlebih dahulu sebelum ia diserahkan kepada pihak yang terlibat dalam siasatan awam termasuk orang ramai,” katanya. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia