Perlembagaan Johor, Terengganu terbatal bila Tanah Melayu dibentuk

Dr Mahathir Mohamad - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Perlembagaan negeri Johor dan Terengganu terbatal oleh Perlembagaan baharu yang diterima oleh semua negeri di Malaysia.

Oleh itu katanya, pada 9 Mei 2018, rakyat sudah mengundi untuk memilih Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Di bawah Perlembagaan Persekutuan, kata beliau, parti yang memenangi pilihan raya akan menamakan calon Perdana Menteri atau Ketua Menteri serta Menteri Besar dan pihak istana akan memberi perkenan.

“Sekiranya, Raja Berperlembagaan menolak untuk menyokong dan mencadangkan calonnya sendiri serta menyokongnya, parti yang menang boleh menolaknya dalam dewan, melalui undi tidak percaya,” katanya dalam catatan blognya.

Perlembagaan Johor dimasyurkan pada 1895, manakala Perlembagaan Terengganu dirangka pada 1911 dan masih berkuatkuasa.

Beliau berkata, Perlembagaan negara perlu dihormati dan dipatuhi semua pihak dan kegagalan berbuat demikian akan menafikan kedaulatan undang-undang.

Perdana Menteri menegaskan, selepas negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, Suruhanjaya Reid ditugaskan untuk merangka Perlembagaan Persekutuan yang bebas dan menjadi undang-undang tertinggi untuk rujukan negara.

“Dipersetujui (dalam Perlembagaan Persekutuan) bahawa Tanah Melayu (kini Malaysia) akan menjadi (negara) demokrasi di mana rakyat akan memilih kerajaan.

“Raja-raja menjadi ketua Perlembagaan tanpa kuasa eksekutif. Kedudukan mereka dijamin oleh Perlembagaan, yang akan menjadi undang-undang tertinggi negara,” katanya.

Beliau turut menyoroti sejarah bahawa pada 1955, British memutuskan untuk mengadakan pilihanraya bagi 52 daripada 98 kerusi Majlis Perundangan Persekutuan dan British percaya tiada satu pihak akan memenangi lebih daripada 49 kerusi bagi menuntut hak membentuk majoriti kerajaan.

Namun, Parti Perikatan yang diterajui UMNO, MCA dan MIC, menang 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan, membolehkan mereka menuntut pembentukan kerajaan, sekali gus menggerakkan usaha ke arah kemerdekaan negara.

ARTIKEL BERKAITAN: MB Johor mahu main peranan sebagai 'jambatan'


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia