Tonto kepung polis demi lindung rokok seludup

Mohd Yusri menunjukkan 260 kotak rokok seludup berjenama Canyon yang berjumlah RM208,000 ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin.
A
A

ROMPIN - Demi melindungi sindiket penyeludupan rokok di daerah ini, geng tonto bertindak samseng dengan mengepung kenderaan polis yang menjalankan risikan di sekitar pesisir pantai di daerah ini, awal pagi tadi.

Kumpulan 30 lelaki berkenaan didakwa bertindak ganas dengan menghimpit kenderaan polis bagi menghalang pihak berkuasa mengekori lori yang membawa rokok seludup keluar dari daerah ini.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata dalam kejadian tersebut, sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin melakukan risikan dan pemantauan di kawasan pesisiran Pantai Bernas, Leban Condong dan Jalan Summerset, Kampung Sembayan.

Menurutnya, ketika pemantauan dilakukan, pihak polis telah dihalang oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda (4x4) dan telah didatangi dua lelaki namun apabila anggota menunjukkan kad pengenalan diri, mereka bertindak melarikan diri.

"Dan apabila pasukan kumpulan risikan maklumat penyeludupan ingin keluar dari kawasan risikan, mereka telah dikepung dan dihimpit oleh lima buah 4x4 Jenis Toyota Hilux.

"Dalam masa sama, terdapat empat buah lori kontena berwarna putih telah bergerak keluar dari kawasan Summerset dan menuju ke bandar Rompin.

"Anggota kita sekali lagi disekat oleh tonto ketika mereka pulang menuju ke IPD Rompin di mana kenderaan anggota disekat oleh enam buah kenderaan 4x4 dengan cara mereka menutup laluan kedua-dua hala menuju Jalan Kuantan dan Mersing namun pihak kita berjaya meminta bantuan sebelum tonto tersebut beredar," katanya dalam sidang media di IPD Rompin, di sini, hari ini

Mohd Yusri berkata, pihaknya percaya tindakan tersebut dilakukan demi melengahkan pihak polis supaya empat lori berkenaan berjaya keluar dari kawasan pesisir pantai.

Pihaknya berjaya merampas 260 kotak yang mengandungi yang rokok seludup berjenama Canyon di dalam sebuah lori yang ditinggalkan di tepi jalan berdekatan Pejabat Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sini.

Mohd Yusri berkata, pihaknya menganggarkan jumlah rampasan bernilai RM208,000 dan dipercayai rokok tersebut adalah untuk pasaran di sekitar Pahang dan Johor.

“Kita sedang mengesan dan memburu anggota sindiket ini yang kita percaya adalah rangkaian penyeludupan besar dan kita akan menahan mereka dalam masa terdekat.

"Hasil siasatan awal juga mendapati nombor pendaftaran lori yang digunakan adalah nombor pendaftaran palsu,” katanya.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkan kepada pihaknya dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia