Gangguan air menyukarkan kehidupan penduduk

Penduduk menggunakan paip getah sebagai cara mengelakkan rasa penat mengangkat tong air yang banyak
Penduduk menggunakan paip getah sebagai cara mengelakkan rasa penat mengangkat tong air yang banyak
A
A
A

SHAH ALAM - Gangguan bekalan air yang bermula hari ini di sebahagian kawasan Selangor menyukarkan sebahagian penduduk melakukan aktiviti seharian.

Lebih-lebih lagi ada antara masyarakat setempat yang mengakui sukar mendapatkan bekalan air secukupnya.

Tinjaun Sinar Harian di beberapa kawasan sekitar Shah Alam mendapati, gangguan air yang akan berlarutan sehingga 86 jam ini agak membimbangkan penduduk dan juga peniaga.

Peniaga Nasi Lemak Bob, Mohd Azmi, 33, berkata, dia terpaksa menggunakan tong air yang besar dalam kuantiti yang banyak untuk menadah air untuk meneruskan perniagaan.

"Susah bila ada masalah air ni, perniagaan saya terganggu.

"Lagi payah bila nak masak makanan, mencuci bekas makanan, mencuci kawasan memasak dan sebagainya," katanya ketika ditemui pihak Sinar Harian di depan Sekolah Kebangsaan Shah Alam, Seksyen 16.

Katanya, gangguan bekalan air bukan sahaja mengganggu perniagaannya, malah mengganggu seisi rumahnya.

"Saya dah tadah air siap-siap bila dah diberitahu awal pada tak ada air ni.

Artikel Berkaitan:

"Dah la air tak ada, harga tong air pula makin mahal, ada peniaga tong air yang nak dapat untung lebih ketika penduduk berebut membeli tong air.

Peniaga Nasi Lemak Bob, Mohd Azmi, 33, mengisi air ke dalam tong demi meneruskan perniagaan seharian
Peniaga Nasi Lemak Bob, Mohd Azmi, 33, mengisi air ke dalam tong demi meneruskan perniagaan seharian

"Mula-mula dulu saya beli tong air ni cuma RM62, bila berlakunya masalah gangguan bekalan air ini, harga tong air ni naik menjadi RM80, memang saya tak nak beli dah tong air bila harga dah naik," ujarnya.

Seorang pekerja restoran yang hanya ingin dikenali sebagai Ramli, 40, juga mengalami rasa yang sama apabila terpaksa membeli air menggunakan mesin air untuk kegunaan hari.

"Ada orang yang dah borong air mineral hanya sebagai bekalan air untuk memudahkan aktiviti seharian, saya berulang-alik dari restoran banyak kali bila air habis.

"Gangguan bekalan air yang dijangka sampai Sabtu ni menyebabkan kami rasa susah untuk aktiviti seharian dan ada yang guna banyak duit hanya untuk mendapatkan air," katanya.

Penduduk berpusu-pusu mendapatkan bekalan air di sebelah Sekolah Kebangsaan Shah Alam, Seksyen 16 apabila mengetahui terdapat bekalan air disediakan di kawasan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: MB Selangor pastikan gangguan air tak lebih tiga hari

73 premis jual tong air diperiksa KPDNHEP

Gangguan bekalan air 86 jam di KL, Selangor Rabu depan

Terdahulu, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Charles Santiago memaklumkan gangguan bekalan air sehingga 86 jam dijangka berlaku di Klang, Shah Alam, Petaling, Gombak, Kuala Lumpur, Kuala Langat dan Kuala Selangor susulan kerja-kerja penambahbaikan perkakasan kritikal sistem bekalan elektrik di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2) pada 24 April.

Pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) itu perlu dibuat dengan segera untuk mencegah sebarang kerosakan atau risiko kegagalan sistem elektrik bagi mengelakkan gangguan bekalan air yang tidak terancang kepada pengguna.

Pekerja restoran menggunakan semua tong untuk mendapatkan air
Pekerja restoran menggunakan semua tong untuk mendapatkan air

Kerja-kerja penambahbaikan akan bermula dari jam 9 pagi sehingga 11 malam iaitu selama 14 jam dan akan menyebabkan henti tugas di LRA SSP2.

Henti tugas LRA SSP2 ini akan menyebabkan gangguan bekalan air sehingga 86 jam bergantung kepada lokasi dan kedudukan pengguna dengan sebanyak 620,835 akaun atau 4,143,465 pengguna di 577 kawasan akan terkesan.

Pihak Air Selangor akan mengambil langkah yang berkenaan dan berusaha untuk mengurangkan impak dan memendekkan tempoh gangguan bekalan air kepada semua pengguna yang terlibat dengan memberikan bantuan bekalan air melalui tangki lori air, tangki statik, pili awam, stesen pengisian air setempat dan agihan botol air minuman selain memastikan bantuan bekalan air dibekalkan ke premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan sebagainya.

Bekalan air dijangka pulih secara berperingkat selepas kerja-kerja penambahbaikan selesai dilaksanakan dan LRA SSP2 beroperasi semula.

Air Selangor menjangka hampir 50 peratus daripada kawasan yang terjejas akan menerima bekalan air melalui paip dalam tempoh 24 jam.