iGURU sambut baik cadangan

Laporan Sinar Harian mengenai beban tugas yang dihadapi guru di negara ini.
Laporan Sinar Harian mengenai beban tugas yang dihadapi guru di negara ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) menyambut baik cadangan Kementerian Pendidikan yang menasihatkan guru besar dan pengetua di negara ini menilai semula agihan tugas supaya guru tidak terbeban dengan kerja-kerja pentadbiran.

Presiden iGuru, Mohd Azizee Hasan berkata, tumpuan masa guru seharusnya diberi keutamaan kepada proses kemenjadian murid melalui sesi rundingan bersama murid dan ibu bapa.

“Langkah ini sebagai memenuhi aspirasi falsafah pendidikan negara, sekali gus membantu mengembalikan golongan guru sebagai superhero.

“Justeru, mereka (guru) tidak sepatutnya terbeban dengan kerja kerani sehingga membantutkan tugas hakiki seorang guru, mengajar dan mendidik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, beliau turut berharap pihak pentadbir melaksanakan arahan kerja dengan mengambil kira kesesuaian sekolah masing-masing tanpa mengorbankan aspek pembangunan manusiawi.

Sinar Harian melaporkan semalam, Kementerian Pendidikan menasihatkan seramai 10,500 guru besar dan pengetua di negara ini menilai semula agihan yang diberikan kepada guru agar tidak membebankan dan mengganggu tugas hakiki guru.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Amin Senin menjelaskan, daripada kajian yang dilakukan sebanyak 25 peratus beban tugas guru dikaitkan dengan cara agihan tugas pengetua dan guru besar.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Sementara itu di KOTA BHARU, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Cawangan Kelantan berharap saranan Kementerian Pendidikan itu diambil serius oleh Jabatan Pendidikan negeri.

Pengerusinya, Johari Ahmed berkata, langkah itu amat penting bagi memastikan suasana harmoni dapat diwujudkan di sekolah sekali gus dapat merealisasikan misi dan visi pendidikan dengan cemerlang.

“Saya bersetuju dengan apa yang dinyatakan di peringkat kementerian. Terdapat sekolah yang agihkan tugas tidak sama rata.

“Ada guru yang kurang tugas, ada guru terlebih tugas hingga menjadi bebanan dan tidak keterlaluan jika saya katakan ada yang berdepan masalah kesihatan sebab terlalu letih dan tertekan,” katanya.

Menurutnya, diakui guru yang terpilih untuk menerima tugasan khas adalah guru yang sangat proaktif, rajin dan cekap, tetapi ia bukanlah alasan untuk membebankan mereka dengan tugasan lain selain mencurahkan ilmu kepada anak didik.

Beliau berkata, pihaknya juga bersetuju jika autonomi diberikan kepada sekolah kerana dengan adanya autonomi, maka sekolah akan lebih bebas dan cekap kerana mereka lebih mengetahui hal ehwal sekolah masing-masing.

“Dalam masa sama, beban tugas guru itu perlu dikaji dari masa ke masa agar dapat mencari jalan penyelesaiannya," kata beliau.