RM64 juta dikreditkan ke tiga akaun Najib

Najib (kiri) tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi perbicaraan kes yang dihadapinya membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. Foto: Bernama
Najib (kiri) tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi perbicaraan kes yang dihadapinya membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengurus Ambank cawangan Jalan Raja Chulan mengesahkan wang sebanyak RM64 juta telah depositkan ke dalam tiga akaun milik bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak antara 2014 dan 2015.

Saksi ke-21, R Uma Devi yang membaca kenyataan saksi pada hari kelapan perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd yang dihadapi Najib berkata, jumlah RM27 juta itu dikreditkan pada 8 Julai 2014 namun tidak dinyatakan sumbernya.

Uma Devi turut mengesahkan sejumlah RM37 juta lagi dikreditkan secara berasingan pada 26 Disember 2014 dan 10 Februari 2015, daripada syarikat Ihsan Perdana Sdn Bhd iaitu sebuah syarikat yang menjalankan tanggungjawab sosial korporat bagi SRC International.

Dalam pada itu, Uma Devi berkata, syarikat subsidiari SRC International, Gandingan Mentari Sdn Bhd telah menghantar permohonan untuk membuka akaun semasa dengan Ambank cawangan Jalan Raja Chulan pada 23 Julai 2014.

Menurutnya, dalam permohonan itu, SRC telah menamakan lima penandatangan sah dengan lima tandatangan spesimen diberikan kepada Ambank.

"Gandingan Mentari telah melampirkan resolusi lembaga pengarah sebagai dokumen sokongan untuk memohon, yang menyatakan Nik Faisal Ariff Kamil dan Suboh Md Yassin sebagai penandatangan sah untuk akaun itu," katanya ketika membacakan kenyataan saksi yang disediakan.

Selanjutnya beliau berkata Gandingan Mentari menerima tiga transaksi wang berjumlah RM50 juta daripada SRC International Sdn Bhd pada tahun 2014 dan 2015.

"Tiga transaksi itu melibatkan jumlah RM40 juta pada 24 Disember 2014 dan RM5 juta masing-masing pada 5 dan 6 Februari 2015," katanya.

Artikel Berkaitan:

Saksi itu juga menyatakan, pengurus perhubungan bank itu (Ambank) bernama Krystle Yap telah menghantar emel bertarikh 24 Disember 2014 bagi meminta cawangan Ambank tersebut mematuhi surat arahan daripada SRC International untuk memindahkan RM40 juta ke akaun Gandingan Mentari.

Katanya, arahan itu diterima berdasarkan surat yang ditandatangani dua pengarah syarikat SRC iaitu Nik Faisal dan Suboh yang kedua-duanya adalah antara lima penandatangan akaun semasa SRC International yang sah.

Dalam pada itu, bagi rekod pemindahan keluar pula, Uma Devi berkata, wang berjumlah RM20 juta juga dipindah keluar dan dimasukkan ke dalam satu lagi akaun semasa AmPrivate Najib bernombor pada 8 Julai 2014.

"Melalui surat arahan Bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal pada November 2014, mengarahkan wang berjumlah hampir RM449,586.95 daripada RM3.3 juta dalam akaun Ambank Datuk Seri Najib Tun Razak dipindah keluar dan dikreditkan kepada kad kredit Visa Platinum manakala selebihnya iaitu RM2,833,147.21 dikreditkan kepada kad kredit Master Card Platinum, " katanya lagi.

Selain itu, Uma Devi juga mengesahkan, Najib telah membuka tiga akaun berlainan di Ambank Cawangan Jalan Raja Chulan antara 13 Januari 2011 hingga 9 Mac 2015.

Uma Devi mengesahkan, Najib melalui satu surat telah mengarahkan dua akaun banknya ditutup pada 30 Ogos 2013 dengan bakinya masing-masing sebanyak RM12,436,711.87 dan RM82.67 dipindahkan ke akaunnya yang lain bernombor 21120211880.

Perbicaraan dihadapan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung hari ini.