Kerajaan jamin kadar sewa bazar Ramadan tak beban peniaga

Wakil Iman Care & Warga Cakna (dua kanan) menyerahkan sumbangan kepada Ahmad Samsuri (dua kiri), sambil diperhatikan Pengarah PAS Relief, Muhammad Sanusi Md Nor (kiri).
Wakil Iman Care & Warga Cakna (dua kanan) menyerahkan sumbangan kepada Ahmad Samsuri (dua kiri), sambil diperhatikan Pengarah PAS Relief, Muhammad Sanusi Md Nor (kiri).
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri memberi jaminan kadar sewaan tapak bazar Ramadan di sekitar Kuala Terengganu dan Stesen Teksi Tanjung (Chow Kit Tanjung) tidak akan membebankan peniaga.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perbincangan antara pihak-pihak berkaitan sudah dijalankan dan satu penyelesaian akan dibuat yang akan memberikan situasi ‘menang-menang’ antara kedua-dua belah pihak.

“Ada beberapa isu lagi yang perlu kita selesaikan. Sebelum kita selesaikan isu itu, saya tidak akan dedahkan lagi. Cuma janji kita, ia tidak akan membebankan peniaga. Ia juga tak perlu kelulusan Exco sebab perundingan itu sedang berjalan.

“Malah, dalam dua hari lepas sudah ada pertemuan dan perbincangan untuk mencari penyelesaian ‘win-win’ kepada kerajaan dan peniaga,” katanya selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Misi Kemanusiaan Gaza 2019 di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar

Sebelum ini, ada pihak yang mendakwa tapak peniaga bazar Ramadan di sekitar Kuala Terengganu dan Stesen Teksi Tanjung (Chow Kit Tanjung) khususnya, dikenakan kadar sewaan yang tinggi dan diberi kepada orang luar.

Bagaimanapun, ia disangkal Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak dan menyatakan, dakwaan kadar sewa yang tinggi itu adalah tidak benar sama sekali, sebaliknya ia berkait dengan tempoh masa sewaan yang dipanjangkan dari 15 hari kepada 29 hari.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ahmad Samsuri berkata, sumbangan berjumlah RM156,000 berjaya dikumpulkan daripada badan bukan kerajaan (NGO), syarikat berkaitan kerajaan, individu dan syarikat swasta dari Terengganu untuk membantu penduduk Gaza, Palestin.

Artikel Berkaitan:

Sumbangan itu kemudiannya diserahkan kepada PAS Relief,yang akan melaksanakan Misi Kemanusiaan Gaza 2019 pada 27 April sehingga 3 Mei ini.

“Walaupun kita tak dapat ke sana untuk ubati mereka, sumbangan ini adalah salah satu cara untuk kita meringankan bebanan mereka.

“Walaupun kita tak boleh buat banyak tapi sebenarnya di mata, hati dan perasaan mereka adalah satu perkara yang sangat besar ertinya. Kita dapat memahami bagaimana peritnya keadaan yang dialami oleh mereka,” katanya.