Anak Thaksin dan calon kacak pilihan penduduk Bangkok

Paetongtarn (kiri) dan Pita menjadi pilihan warga Bangkok yang ingin melihat generasi muda mentadbir negara. - Agensi
Paetongtarn (kiri) dan Pita menjadi pilihan warga Bangkok yang ingin melihat generasi muda mentadbir negara. - Agensi
A
A
A

BANGKOK - Paetongtarn Shinawatra dan Pita Limjaroenrat muncul dua calon pilihan utama warga Bangkok untuk jawatan Perdana Menteri dalam tinjauan pendapat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) pada 14 Mei ini.

Mesra dengan panggilan Ung Ing, Paetongtarn, 36, adalah anak bongsu Thaksin iaitu Perdana Menteri yang digulingkan selepas rampasan kuasa tentera pada 2006 dan kini hidup dalam buangan atas pilihan sendiri.

Pita pula adalah ketua Parti Move Foward dan dilihat memenuhi cita rasa sesetengah rakyat Thailand yang mahu generasi lebih muda memimpin negara itu.

Berdasarkan tinjauan dikendalikan Institut Pentadbiran Pembangunan Kebangsaan (NIDA) pada Ahad melibatkan 2,500 pengundi yang layak di Bangkok, menyaksikan Pita menduduki tangga teratas dengan 25.08 peratus undi.

Pengundi muda tertarik dengan pemimpin berusia 42 tahun itu kerana beliau muncul satu-satunya ketua parti pembangkang yang mendesak pindaan kepada undang-undang lese majeste atau menghina institusi dan kerabat diraja Thailand serta mahu polisi kerahan tentera ditamatkan.

Sejak empat tahun lalu, Thailand diselubungi tunjuk perasaan besar-besaran prodemokrasi diketuai oleh golongan muda yang menggesa perubahan demokratik dan reformasi kepada institusi diraja.

Sementara itu, Paetongtarn yang mendahului tinjauan pendapat di seluruh negara pula berada di tangga kedua dengan 24.20 peratus undi.

Paetongtarn mewakili parti pembangkang terbesar Thailand, Pheu Thai dilihat mampu menyambung legasi bapanya dan ibu saudara, Yingluck juga bekas Perdana Menteri yang pernah meraih kemenangan besar pada PRU sebelum ini.

Beliau turut membawa misi Pheu Thai untuk menamatkan hampir sedekad pemerintahan yang disokong tentera.

Keputusan tinjauan pendapat itu satu tamparan kepada Prayut Chan-o-cha yang secara rasmi dicalonkan semula pada PRU nanti apabila sekadar meraih 18.24 peratus undi.

Pada PRU kali ini, Prayut, 69, yang berkuasa sejak 2014 bertanding atas tiket Parti Bangsa Thai Bersatu.

Dalam tinjauan berasingan oleh Universiti Suan Dusit Rajabhat, Pheu Thai masih menjadi pilihan utama sebahagian besar pengundi di Bangkok untuk menjadi parti pemerintah. - Agensi