Isu nelayan asing: Rakyat tuntut tindakan tegas

Azman (kanan) bertemu kumpulan nelayan yang mengadakan bantahan secara aman menentang pencerobohan nelayan asing di perairan negara yang diadakan di muara Sungai Terengganu, hari ini.
A
A

KUALA TERENGGANU – Rakyat menuntut satu tindakan tegas daripada Kerajaan Pusat bagi membendung isu pencerobohan nelayan asing ke perairan negara yang berlarutan sejak sekian lama.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa, Dr Azaman Ibrahim berkata, isu melibatkan kepentingan rakyat itu perlu ditangani sebaiknya oleh kerajaan.

“Kita harap isu ini akan diselesaikan dan kita mahu ia ada lonjakan, tak mahu jawapan dengan ‘skrip’ yang sama daripada kerajaan sama ada kekurangan aset atau lautan yang luas yang perlu dikawal.

“Kita mahu ada satu jawapan yang pasti, dan tindakan segera yang boleh membendung masalah ini,” katanya ketika ditemui pada perhimpunan bantahan secara aman menentang pencerobohan nelayan asing di perairan negara yang diadakan di muara Sungai Terengganu, hari ini.

Menurutnya, isu pencerobohan nelayan asing bukan hanya merugikan, malah mengancam keselamatan nelayan tempatan.

“Kita menerima aduan, ada nelayan asing yang bersenjata dan turut mengugut nelayan tempatan. Jadi, isu pencerobohan ini bukan sahaja menyebabkan kerugian, bahkan turut mengancam nyawa dan keselamatan nelayan kita.

“Jadi, kita tak halang nelayan untuk berkumpul dan menyatakan bantahan terhadap isu ini kerana ia melibatkan kepentingan mereka,” katanya.

Beliau berkata, terdapat dua perkara di dalam isu pencerobohan nelayan asing iaitu nelayan asing menggunakan bot asing dan nelayan asing menggunakan bot tempatan.

“Kedua-dua isu ini perlu ditangani sebaiknya oleh kerajaan yang mana kebanyakannya melibatkan nelayan Vietnam. Kita di Terengganu tak lagi hadapi ancaman nelayan Thailand atau dari negara lain,” katanya.

Beliau berkata, walaupun pernguatkuasaan terhadap pencerobohan nelayan asing bukan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, hubungan bersama agensi dan jabatan terlibat begitu erat.

“Kita tiada peruntukan bidang kuasa sebab ia di bawah Kerajaan Pusat. Sebab itu kita tekankan supaya semua agensi disatukan di bawah satu penyelarasan dari segi tugas supaya ia boleh dioptimumkan sebaik mungkin,” katanya.