Kes gaduh di ISKL: Polis tunggu laporan Wisma Putra

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis masih menunggu maklum balas daripada Wisma Putra sebelum mendapatkan keterangan daripada seorang anak kakitangan kedutaan Amerika Syarikat yang dipercayai terbabit dalam pergaduhan di Sekolah Antarabangsa Kuala Lumpur (ISKL) di Ampang Hilir baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Noor Azmi Yusoff berkata permohonan untuk mendapatkan keterangan remaja berusia 14 tahun itu sudah diserahkan kepada Wisma Putra pada 15 April lepas, namun tiada respons yang diterima setakat ini.

"Setakat ini polis sudah mengambil keterangan lima individu termasuk pengetua dan siasatan masih dijalankan untuk mendapatkan keterangan daripada suspek, namun perlu melalui Wisma Putra," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan anak kepada seorang kakitangan Kedutaan Amerika Syarikat terbabit dalam pergaduhan di sekolah berkenaan pada Rabu lepas (10 April) hingga menyebabkan seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun terpaksa menerima 38 jahitan.

Mangsa, dipercayai warga tempatan, sebelum itu dilaporkan cedera akibat terjatuh di dalam tandas bagaimanapun ibu mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian pada 10 April lepas.

Pelajar warga Amerika itu dipercayai sudah meninggalkan Malaysia bersama anggota keluarganya berdasarkan rekod imigresen. -Bernama

Artikel Berkaitan: