Warga emas, teman wanita antara 13 ditahan positif dadah

AADK
AADK
A
A
A

MIRI - Seorang lelaki warga emas dan teman wanitanya berumur 39 tahun antara 13 individu ditahan dalam operasi bersepadu anti dadah dijalankan di enam lokasi di sini, malam semalam.

Ketua Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Miri, Mazlan Jikran berkata warga emas berusia 63 tahun itu ditahan bersama teman wanitanya, seorang janda anak dua, dalam sebuah rumah kerana positif dadah jenis syabu.

"Dalam operasi tersebut turut ditahan seorang ibu tunggal yang sarat mengandung kerana positif dadah syabu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata 13 individu ditahan dalam operasi selama tujuh jam bermula 9 malam itu melibatkan 11 lelaki serta dua wanita dengan kawasan operasi membabitkan Kampung Pulau Sibuti, Kampung Padang Kelulit, Kampung Tunah Tiris, Kampung Masjid Tiris, Kampung Bulau dan Kampung Keluru Tengah.

"Kesemua ditahan disiasat di bawah Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan jika disabitkan kesalahan akan diperintahkan menjalani rawatan serta pemulihan di pusat pemulihan selama dua tahun atau di bawah perintah pengawasan tidak lebih tiga tahun," katanya. -Bernama

Artikel Berkaitan: