Mitra laksana program naik taraf sosioekonomi masyarakat India

Fuziah
Fuziah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan melalui Unit Transformasi India Malaysia (Mitra) akan melaksanakan program latihan khas dalam bidang minyak dan gas, automotif, mekatronik, teknologi maklumat, perhotelan dan pembangunan kerjaya yang melibatkan pelbagai bidang ekonomi.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh berkata ini seiring dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan taraf pembangunan sosioekonomi masyarakat India, terutamanya golongan belia dan B40.

"Mitra juga akan memberi tumpuan dalam bidang pendidikan kepada kumpulan B40, bermula daripada program prasekolah hingga program pembangunan kemahiran.

"Mitra turut akan bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan lain dalam usaha meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat India, termasuk memperkenalkan program-program memperkasa wanita dan ibu tunggal, menggalakkan pemilikan rumah, serta program keusahawanan,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk A. Kesavadas Nair mengenai langkah-langkah yang diambil kerajaan untuk meningkatkan sosioekonomi kaum India yang telah dipindah keluar daripada kawasan estet.

Fuziah berkata kerajaan bukan sahaja memberi tumpuan masyarakat India yang telah berpindah keluar daripada estet tetapi melihat isu tersebut secara keseluruhan dan holistik.

"Ini bermakna bukan sahaja masyarakat India yang berada atau berpindah keluar daripada estet diberi fokus khusus, tetapi juga masyarakat India yang terpinggir akan dibantu sebaik mungkin dalam usaha kerajaan menaikkan taraf sosioekonomi masyarakat India,” katanya. -Bernama

Artikel Berkaitan: