Isu perpaduan, kaum fokus utama Waytha Moorthy

Waytha Moorthy pada sidang akhbar di Putrajaya, hari ini.
A
A

PUTRAJAYA - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial), Senator P. Waytha Moorthy menyifatkan Konvensyen Orang Asli 2019 yang julung kali dianjurkan pada Isnin lalu antara tiga pencapaian besar sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan, 9 Mei tahun lalu.

Waytha Moorthy berkata, konvensyen bertemakan 'Memartabatkan Hak Orang Asli' yang dirasmikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu adalah untuk menangani isu masyarakat tersebut meliputi tujuh perkara utama terdiri daripada pendidikan, tanah, kesihatan, ekonomi, infrastruktur, kepimpinan dan budaya.

"Kerajaan sedar bahawa Orang Asli perlu menikmati arus pembangunan seiring dengan kaum-kaum lain di negara ini.

"Oleh yang demikian, menerusi penganjuran Konvensyen Orang Asli 2019 pihak kerajaan bukan sahaja memperoleh input malah, berpeluang mendengar pandangan tentang hala tuju masyarakat tersebut," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Tambah beliau, hasil konvensyen tersebut sebanyak 133 resolusi telah dikemukakan kepada kerajaan bagi menaiktaraf kehidupan Orang Asli.

Waytha Moorthy pada sidang akhbar di Putrajaya, hari ini.
Waytha Moorthy pada sidang akhbar di Putrajaya, hari ini.

"Berdasarkan kesemua resolusi itu, kerajaan kini dalam proses merangka Pelan Pembangunan Masyarakat Orang Asli sebagai memenuhi Janji 38 manifesto PH.

"Selain masyarakat Orang Asli kami juga komited menganjurkan pelbagai aktiviti dan agenda untuk kaum minoriti seperti Siam dan Portugis termasuk kaum-kaum lain di Sabah serta Sarawak," ujarnya.

Bagi pencapaian lain, Waytha Moorthy memberitahu, pihaknya kini berada atas landasan yang teguh berjuang mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Inisiatif tersebut bertujuan untuk menangkis isu-isu perpaduan yang seringkali dimainkan pihak tidak bertanggungjawab sehingga menjejaskan keharmonian antara satu sama lain.

"Sehubungan itu, Jabatan Perpaduan telah melaksanakan bermacam-macam program bersama rukun tetangga, persatuan penduduk, badan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta untuk mendekatkan rakyat," jelasnya.

Dalam pada itu, Waytha Moorthy menjelaskan, rombakan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) juga merupakan kejayaan besar yang dicapai.

"Tindakan (rombakan) ini dilakukan supaya Mitra lebih telus terutamanya melibatkan dana untuk masyarakat tersebut.

"Kita juga sedang dalam proses menilai permohonan dana yang diminta NGO daripada kerajaan bagi tujuan pembangunan kaum India di Malaysia," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia