Persatuan belia tidak patut dipolitikkan

Mohd Isam Mohd Isa
Mohd Isam Mohd Isa
A
A
A

SEREMBAN - Persatuan belia adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tidak sepatutnya ia dipolitikkan.

Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Gemencheh) berkata, persatuan belia perlu bebas dan tidak boleh dipengaruhi oleh mana-mana parti politik.

"Persatuan belia memang perlu berkhidmat sama ada untuk kerajaan lama atau yang baharu.

"Jika mereka nak letak gambar 'profile' di Facebook itu adalah daripada kepimpinan lama, apa salahnya... tidak perlu ia dipertikaikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahas usul menjunjung kasih Titah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada Persidangan Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14, di sini, hari ini.

Menurutnya, ada persatuan belia yang dilihat tidak bersama kerajaan hari ini adalah disebabkan tidak mendapat perhatian sewajarnya.

Terdahulu Mary Josephine Prittam Singh (DAP-Rahang) berkata, berdasarkan rekod yang diberikan Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia Kementerian Belia dan Sukan, sebanyak 900 pertubuhan belia di negeri ini.

“Ini menunjukkan belia di negeri ini mempunyai kekuatan dan kefahaman mengenai pentadbiran dan mengurus. Kekuatan ini harus ditambah nilai pihak Jabatan Belia Dan Sukan negeri untuk bantu mereka dalam memberi impak pembangunan belia di Negeri Sembilan.

Artikel Berkaitan:

“Tambah peruntukan kepada pertubuhan belia khususnya Pejabat Majlis Belia Negeri yang terletak di Taman Bukit Chedang, jika pertubuhan belia ini tidak dibantu akan menyebabkan segala maklumat atau input kerajaan negeri untuk membangunkan belia tergendala,” katanya.

Selain itu katanya, adalah menjadi harapan untuk melihat belia di Negeri Sembilan mengharumkan nama negeri melalui sukan dan pembangunan sukan melalui Majlis Sukan Negeri dengan menaik taraf pentadbiran dan pembangunan persatuan berkenaan.

“Banyak keluhan dari persatuan sukan tentang peruntukan dan bantuan yang tidak diterima daripada Majlis Sukan Negeri dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, " katanya.