Gagal memotong, buruh binaan maut motosikal bertembung treler

Seorang buruh binaan maut selepas motosikal ditunggangnya dipercayai gagal memotong dan bertembung dengan sebuah treler di Jalan Gua Musang-Kuala Krai pada Ahad.
Seorang buruh binaan maut selepas motosikal ditunggangnya dipercayai gagal memotong dan bertembung dengan sebuah treler di Jalan Gua Musang-Kuala Krai pada Ahad.
A
A
A

GUA MUSANG - Seorang buruh binaan maut selepas motosikal ditunggangnya dipercayai gagal memotong dan bertembung dengan sebuah treler di Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di sini pada Ahad.

Dalam kejadian jam 9.40 pagi itu, mangsa berusia 47 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa dari Kuala Terengganu menuju ke Gua Musang itu dipercayai telah gagal memotong sebuah kereta.

"Situasi itu mengakibatkan motosikal mangsa telah bertembung dengan sebuah treler yang datang dari arah bertentangan.

"Treler berkenaan dikatakan telah membrek sejauh 17 meter dan telah cuba mengelak ke kanan, namun mangsa dipercayai telah melanggar bahagian tayar belakang sebelah kiri kenderaan berat tersebut," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, mangsa yang bekerja sebagai buruh binaan di tapak pembinaan Lebuhraya Centrel Spine Road (CSR) Sempadan Kelantan-Pahang disahkan maut di lokasi kejadian.

Ujarnya, jenazah kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.

Choon Foo memberitahu, kes tersebut disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan maut.

"Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.