Kandungan ammonia lebih had, LRA Simpang Renggam ditutup lagi

Capture
Capture
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor mengesahkan Ranhill SAJ terpaksa menghentikan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam semalam, kerana kualiti sumber air mentah merosot.

Exco Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, situasi itu berikutan kandungan ammonia yang tinggi melebihi had dibenarkan Kementerian Kesihatan iaitu 1.5 ppm.

Menurutnya, pencemaran dipercayai berlaku apabila benteng kolam air larutan serapan (leachate) di tapak pelupusan CEP 1, Simpang Renggam pecah akibat hujan lebat.

"Setakat jam 12 tengah hari tadi, bacaan air Sungai Ulu Benut telah mencatatkan bacaan 16 ppm sehingga menyebabkan LRA Simpang Renggam tidak boleh menjalankan operasi membekalkan air bersih.

"Akibat daripada pencemaran ini, sebanyak 15,000 pemegang akaun di Simpang Renggam dan 8,000 di Pontian telah terjejas akibat daripada gangguan bekalan air," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Wee Tse berkata, beliau telah meminta Ranhill SAJ supaya mengerahkan lori tangki air ke kawasan terjejas, dan keutamaan diberikan kepada sekolah dan hospital terlibat.

"Ranhill SAJ telah maklumkan kepada saya bahawa mereka telah mengerahkan lebih kurang 30 buah lori tangki air bagi tujuan tersebut," katanya.

Selain itu, beliau menzahirkan harapan agar pengguna yang terjejas untuk bersabar dan pejabatnya akan sentiasa memantau bacaan ammonia tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Apabila bacaan tersebut turun ke paras dibenarkan iaitu 1.5 ppm, tindakan sewajarnya akan diambil agar operasi memproses bekalan air bersih dapat dijalankan seperti sedia kala.

"Saya juga telah mengarahkan supaya Ranhill SAJ sentiasa kemaskini maklumat terbaru, dan menyebarkan kepada orang awam terutamanya kepada pengguna yang terjejas," katanya.