Pindaan Akta Pekerjaan lindungi kebajikan pekerja

M Kulasegaran
M Kulasegaran
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Sumber Manusia akan meminda Akta Pekerjaan 1955 dalam usaha untuk terus melindungi kebajikan pekerja.

Menteri berkenaan, M.Kulasegaran berkata cadangan pindaan itu, yang akan turut membabitkan enam undang-undang lain, dijangka dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat, Julai ini.

Antara lain, undang-undang itu termasuk Akta Perhubungan Perusahaan 1967, Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990, Akta Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan 1994, dan Akta Kesatuan Sekerja 1959.

"Kami perlu mendapatkan kelulusan Kabinet berhubung perkara ini. Cadangan pindaan itu akan turut meliputi diskriminasi di tempat kerja," katanya pada persidangan media di kementeriannya di sini hari ini bersempena setahun pemerintahan Pakatan Harapan.

Beliau turut menyatakan kementeriannya merancang untuk memperkenalkan dua undang-undang baharu di masa depan, satu daripadanya adalah liputan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Socso) yang akan memberi manfaat kepada kira-kira 1.4 juta suri rumah.

Mengenai isu pekerja asing, Kulasegaran berkata berikutan permintaan yang amat besar daripada industri baharu, agak sukar untuk mengurangkan jumlah pekerja di negara ini.

"Pihak industri yang baru ditubuhkan di negara ini mengatakan mereka memerlukan tenaga kerja asing memandangkan mereka tiada pekerja dalaman," katanya.-Bernama

Artikel Berkaitan: