Tiada pasukan A atau pasukan B, kata Sahruddin

Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal bersama barisan Exco Kerajaan Johor yang dilantik.
A
A

ISKANDAR PUTERI - Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal menafikan dakwaan barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Johor (Exco) yang dilantik pada Isnin lalu, merupakan pasukan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau menegaskan barisan Exco Kerajaan Johor tersebut adalah pasukan yang dirinya selesa untuk bekerja.

"Sebetulnya, untuk kita membela rakyat, tiada pasukan-pasukan pun. Cuma pasukan Exco yang ada di sekeliling saya itu, merupakan satu pasukan yang saya selesa untuk bekerja dengan mereka.

"Tujuan dia untuk kita menjaga rakyat Johor inilah. Jadi tiada pasukan A, pasukan B," katanya kepada pemberita dalam sesi temuramah khas bersamanya di Pejabat Menteri Besar Johor, Kota Iskandar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta untuk menjawab dakwaan pihak tertentu bahawa pelantikan barisan Exco Kerajaan Johor baru-baru ini, merupakan 'pasukan Muhyiddin'.

ARTIKEL BERKAITAN: Barisan Exco Johor pasukan Muhyiddin, kata penganalisis

Sahruddin berkata, semua Exco Kerajaan Johor termasuk dirinya sebagai Menteri Besar berada di dalam pentadbiran kerajaan negeri, untuk bekerja bersama semua penjawat awam.

Katanya, pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinannya mahu rakyat Johor menikmati manfaat pembangunan dilaksanakan, mendapat kebaikan dari sudut ekonomi dan berasa aman.

"Terus terang, pasukan-pasukan itu tiada. Inilah pasukan saya untuk membela nasib rakyat.

"10 (orang) Exco, itulah pasukan saya. Pasukan saya untuk membela rakyat. Team Bangsa Johor," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia