ECRL: Terengganu & MRL tubuh jawatankuasa bersama

Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu akan menubuhkan satu jawatankuasa bersama Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dalam memperhalusi pelbagai perkara termasuk melicinkan pelaksanaan kerja-kerja Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jawatankuasa itu akan menilai dan menyelesaikan beberapa perkara berbangkit, termasuk isu pengambilalihan tanah dan isu-isu kelulusan untuk kerja-kerja di peringkat kerajaan tempatan.

Menurutnya, kerajaan negeri akan memberikan komitmen dalam mempermudah segala proses yang berkaitan.

“Selepas projek ini dihentikan sementara dan pertimbangan baharu dengan mengurangkan kos sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ada beberapa pertimbangan baharu yang dibuat.

“Antaranya ialah mengurangkan jumlah stesen dan mengubah laluan awal, iaitu tidak melalui Serendah, Gombak dan Bentong tapi dibuat melalui Bangi menghala Kuala Kelawang, Jelebu dan pergi ke Mentakab.

“Secara keseluruhannya, di Terengganu daripada titik masuk iaitu di Kemaman sehingga titik hujung di Kampung Raja, Besut sebelum masuk ke Kelantan, pengurangan jarak yang berlaku hanya 6 kilometer sahaja,” katanya selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Misi Kemanusiaan Gaza 2019 di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, ada sedikit perubahan jajaran laluan, iaitu diubah sedikit ke sebelah dalam dan bukannya menghala ke pantai sebagaimana laluan asal yang tidak jauh dari pantai.

Selain itu, bilangan stesen dikurangkan daripada lapan kepada hanya enam stesen yang akan dibuat.

Artikel Berkaitan:

“Daripada enam stesen itu, dua adalah untuk kargo dan penumpang iaitu di Stesen Chukai dan Dungun manakala empat lagi untuk penumpang sahaja... jadi tidak melibatkan perkara yang signifikan sangat.

“Walaupun laluan baru itu agak berbeza sedikit, tapi kita percaya ia tidak merubah objektif asal yang kita nak capai.

“Bagaimanapun, keputusan akhir jajaran ini kita kena tunggu perbincangan selanjutnya dengan MRL, tetapi kerajaan negeri akan memberikan komitmen dalam mempercepatkan proses ini,” katanya.

Jelas beliau, dengan jajaran laluan baharu itu, kerajaan dijangka akan membuat gazet beberapa kawasan baharu.

Bagaimanapun katanya, proses itu bukanlah mudah dan pihaknya menjangkakan kerja-kerja akhir dalam penentuan jajaran baharu itu hanya akan selesai akhir tahun ini atau awal tahun depan.