Panel pertikai kredibiliti saksi kelima

Saksi, Bekas Pemerintah Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, ACP Wan Hamzah Wan Kadir keluar dari bilik prosiding selepas memberi keterangan pada sesi pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis di Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis memutuskan kredibiliti saksi kelima, DSP M Joeking Maniam Anthony, disemak semula.

Perkara itu diputuskan Pengerusi RCI Tun Arifin Zakaria pada hari kelima prosiding RCI itu hari ini apabila diberitahu oleh saksi ke-14 ACP Wan Hamzah Wan Kadir bahawa Joeking, yang merupakan Komandan Kompeni B, Batalion 3, Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara, telah digantung kerja pada 1 Mac lepas.

Arifin berkata penahanan saksi oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan siasatan kes rasuah seperti diberitahu Wan Hamzah harus diberi perhatian dan status terkini siasatan perlu diketahui untuk menjustifikasi kredibiliti saksi tersebut.

Hujah itu turut dipersetujui oleh Timbalan Pengerusi RCI Tan Sri Norian Mai yang menyatakan semakan semula itu adalah penting kerana melibatkan soal kredibiliti saksi berkenaan.

Wan Hamzah yang merupakan Pegawai Pemerintah, Batalion 3, PGA Bidor, Perak dalam prosiding RCI hari ini memaklumkan bahawa Joeking pernah ditahan SPRM pada 2015 berkaitan kes penyeludupan diesel, beras dan daun ketum.

Selain Joeking, empat pegawai dan beberapa anggota PGA turut ditahan SPRM pada 2 Mac 2015, di mana beliau difahamkan penahanan itu tidak kaitan dengan kes Bukit Wang Burma atau pendatang asing, katanya.

Wan Hamzah dalam prosiding itu juga menafikan dakwaan Joeking dalam kenyataannya sebelum ini kepada RCI bahawa dia (Joeking) dilarang menyertai operasi siasatan penemuan kem sementara itu atas arahan pihak atasan.

Menurut Wan Hamzah, larangan itu tidak berkaitan dengan kes penemuan kem dan kubur di Bukit Wang Burma tetapi melibatkan siasatan kes rasuah yang dihadapi Joeking.

Beliau berkata surat larangan menghalang Joeking daripada terlibat dalam sebarang operasi itu dikeluarkannya selepas anak buahnya itu ditahan SPRM.

Menurutnya, Joeking juga telah mengingkari arahan Perintah Am PGA apabila membawa telefon bimbit sewaktu melakukan operasi tinjauan di kem penempatan sementara itu pada 21 Jan 2015.

Di bawah perintah itu, anggota dan pegawai PGA tidak dibenarkan membawa telefon ketika bertugas kecuali dengan kebenaran pegawai atasan, katanya. -Bernama