Berang ditegur baca doa buka puasa laju, anak pukul bapa

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KAJANG - Seorang lelaki diberkas selepas memukul bapanya menggunakan kerusi ketika berbuka puasa dalam kejadian di sebuah rumah di sini pada Jumaat.

Suspek berumur 34 tahun itu dipercayai berang setelah ditegur mangsa kerana membaca doa berbuka puasa dengan laju.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, laporan polis dibuat mangsa berumur 63 tahun itu kira-kira jam 7.45 malam.

"Siasatan mendapati suspek tidak berpuas hati selepas ditegur bapanya kerana membaca doa makan dengan laju sebelum bertindak menghayunkan kerusi ke kepala mangsa sehingga patah kaki kerusi.

"Bagaimanapun kejadian dileraikan salah seorang anak mangsa sebelum menghubungi pihak polis," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Katanya, suspek kemudiannya berjaya diberkas sejurus selepas kejadian.

"Mangsa mengalami kecederaan ringan di bahagian dahi dan tangan.

"Selain itu, kerusi meja makan yang dipercayai digunakan suspek untuk memukul mangsa turut dirampas untuk siasatan lanjut," katanya.

Ujar Mohd Zaid, suspek kini direman tiga hari untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan / 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 2017," katanya.