Tiada peniaga dikesan manipulasi harga tong air

Muhamad Zikril (dua dari kanan) memeriksa harga tong air menerusi operasi yang dijalankan di Puchong hari ini.
Muhamad Zikril (dua dari kanan) memeriksa harga tong air menerusi operasi yang dijalankan di Puchong hari ini.
A
A
A

PUCHONG - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor memaklumkan tiada mana-mana peniaga dikesan cuba memanipulasi harga tong air susulan daripada gangguan bekalan itu yang dijadualkan berlaku di sekitar Lembah Klang bermula hari ini.

Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, menerusi pemeriksaan yang dilaksanakan oleh pihaknya sejak 22 April lalu mendapati kebanyakan peniaga dilihat mempamerkan harga pada tong air yang dipasarkan kepada pengguna.

Menurut beliau, sehingga kini, tiada sebarang aduan rasmi yang diterima melibatkan kes harga tong air susulan daripada gangguan yang dijadualkan berlaku dalam tempoh 86 jam itu.

"Pemeriksaan ini akan diteruskan sehinggan gangguna air di negeri ini selesai. Malah pihak kami juga memantau bekalan air mineral bagi memastikan ia sentiasa mencukupi dalam pasaran untuk kegunaan pengguna," katanya selepas mengikuti operasi pemeriksaan yang dilakukan di sekitar Puchong hari ini.

Difahamkan, gangguan bekalan air sehingga 86 jam dijangka berlaku di Klang, Shah Alam, Petaling, Gombak, Kuala Lumpur, Kuala Langat dan Kuala Selangor susulan kerja-kerja penambahbaikan perkakasan kritikal sistem bekalan elektrik di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2).

Mengulas lanjut, Zikril berkata, pihaknya juga telah memeriksa sebanyak 97 premis yang menjual tong air bagi memastikan tiada peniaga yang mengambil kesempatan bagi mengaut keuntungan berlebihan susulan daripada gangguan bekalan yang berlaku tersebut.

Selain itu beliau turut mengingatkan peniaga agar tidak menaikkan harga tong air dengan sesuka hati dan tindakan mahkamah boleh diambil sekiranya perkara itu dikesan oleh pihak KPDNHEP.

"Jika pesalah itu satu pertubuhan perbadanan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM500,000 dan bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya mereka akan didenda tidak melebihi RM1 juta.

Artikel Berkaitan:

"Manakala jika pesalah itu bukan satu pertubuhan perbadanan, hukuman denda tidak melebihi RM100,000 boleh dikenakan atau dipenjara selama tempoh tidak kurang tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Dan bagi kesalahan kali kedua atau berikutanya, mereka boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Tambah beliau, orang ramai juga digesa untuk membuat aduan kepada KPDNHEP melalui pelbagai platform yang disediakan sekiranya mendapati ada peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga tong air.