Peratus pelajar ponteng di NS meningkat

Dr Mohamad Rafie Ab Malek
Dr Mohamad Rafie Ab Malek
A
A
A

SEREMBAN - Peratus kes pelajar ponteng sekolah di negeri ini menunjukkan peningkatan dalam tempoh lima tahun dari 2014 hingga tahun lalu.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan & Modal Insan Dr Mohamad Rafie Ab Malek (PH-Ampangan) berkata, peningkatan ketara itu berikutan penggunaan Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) yang melaporkan semua isu disiplin pelajar serta Amalan Baik SSDM setiap pelajar.

"Sebelum ini, aplikasi ini hanya merekodkan salah laku disiplin murid tanpa mengisi Amalan Baik mereka dan bukan semua rekod disiplin dilaporkan oleh pihak sekolah kerana akan timbul persepsi imej tidak baik digambarkan kepada pihak sekolah melalui data-data itu.

"Berdasarkan rekod, peratus pelajar ponteng sekolah pada tahun 2014 ialah 0.24 peratus dan menurun kepada 0.22 peratus (2015).

"Namun meningkat kepada 0.54 peratus pada 2016 diikuti 2.52 peratus (2017) dan 4.74 peratus (2018)," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Chew Seh Yong (PH-Lobak) berhubung isu ponteng sekolah dan tindakan diambil untuk selesaikan masalah itu pada Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kedua DUN Negeri Sembilan Yang Ke-14, hari ini.

Menurutnya, selaras dengan tagline Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan iaitu 'Jom Poie Nolong Sekolah' dan melahirkan Anak Yang Baik Lagi Cerdik(ABC), beberapa tindakan telah dirancang dan dilaksanakan bagi mengatasi masalah itu.

Beliau berkata, antaranya Program Jom Ke Sekolah, Operasi Ponteng, Mesyuarat Permuafakatan antara Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta sesi bimbingan dan kaunseling.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu turut diadakan Program Pembangunan Sahsiah Diri Murid (PPSDM) yang memberi fokus kepada pelajar berisiko dan Amalan Guru Penyayang (AGP) yang bertujuan meningkatkan penghargaan terhadap pelajar dengan mengalu-alukan kehadiran mereka ke sekolah.

"Turut diadakan Program Ziarah Cakna 2019 antara usaha Kementerian Pendidikan iaitu lawatan ke rumah pelajar bermasalah sebagai usaha mendekati dan membantu permasalahan dihadapi," katanya.