Tiga tahun OKU ini tinggal dalam pondok

Mas Ermieyati (dua, kiri) melihat keadaan pondok yang dibina menggunakan papan nipis dan didiami pasangan suami isteri itu.
Mas Ermieyati (dua, kiri) melihat keadaan pondok yang dibina menggunakan papan nipis dan didiami pasangan suami isteri itu.
A
A
A

MASJID TANAH - Seorang saudara baharu yang juga Orang Asli Temuan sanggup berjauhan dengan keluarga dan tinggal dalam pondok yang dibina dengan papan nipis sejak tiga tahun lalu.

Mohammad Razai Sudin, 28, berkata, dia dan isterinya Norisah Rahmat, 44, mengambil keputusan berhijrah ke kampung halaman isteri di Kampung Solok Air Batu, Masjid Tanah, setelah tekad mengamalkan cara hidup Islam sebenar selepas mendaftarkan keislamannya pada tahun 2017.

Mohammad Razai
Mohammad Razai

Walaupun terpaksa tinggal dalam pondok yang sempit dan daif namun dia yang berstatus orang kurang upaya (OKU) kecacatan fizikal di bahagian lutut akibat kemalangan, tabah tinggal di situ dan hanya mengharap belas ihsan saudara mara terdekat isteri termasuk menumpang bekalan elektrik mereka.

Disebabkan dirinya OKU, dia juga tidak mampu melakukan kerja berat dan hanya mengambil upah membersihkan kebun orang kampung selain memperoleh bantuan OKU Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 setiap bulan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

"Susah memang susah... adakala kami hanya berlaukkan pucuk ubi, ada juga lauk yang orang sedekahkan kepada kami buat kami alas perut.

"Saya peluk Islam sejak berumur 18 tahun, tapi masa tu tak ada siapa yang nak bimbing, sampai saya masih minum arak.

"Sebab tu saya pindah untuk jadi orang Islam yang sebenar dan lupakan kisah lalu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohammad Razai berkata demikian ketika menerima kehadiran Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin di sini, hari ini.

Mohammad Razai dan isterinya mendiami pondok daif sejak tiga tahun lalu di Kampung Solok Air Batu, Masjid Tanah.
Mohammad Razai dan isterinya mendiami pondok daif sejak tiga tahun lalu di Kampung Solok Air Batu, Masjid Tanah.

Dia bersyukur isterinya banyak bersabar dan memberikan sokongan, selain imam kampung turut sering mempelawa dia untuk menyertai kelas agama di masjid berdekatan.

"Disebabkan tak mahu susahkan sesiapa, saya beli papan nipis dan buat sendiri pondok untuk kami berlindung dari hujan dan panas," katanya.

Norisah turut mengakui sebelum ini suaminya bersikap panas baran, tetapi setelah berhijrah, Mohammad Razai banyak menunjukkan perubahan positif dan menjadi penyabar biarpun kehidupan mereka lebih sukar berbanding ketika tinggal di Selangor dahulu.

Norsiah berkata, kerana kesempitan hidup, dia terpaksa memberikan anak yang dilahirkan pada tahun lalu kepada kakaknya kerana tidak mampu menjaga selain turut mempunyai tiga anak hasil perkongsian hidup dengan suami pertama.

"Sekarang saya dah tak kerja, sebab tak mampu jaga anak.

Mas Ermieyati (tiga,kanan) menyampaikan sumbangan kepada Norisah ketika menziarahi pasangan suami isteri itu.
Mas Ermieyati (tiga,kanan) menyampaikan sumbangan kepada Norisah ketika menziarahi pasangan suami isteri itu.

"semua tiga anak saya bagi kepada bekas suami, manakala anak dengan suami sekarang saya terpaksa serah kepada kakak demi masa depan anak," katanya.

Tambahnya, dia bersyukur kerana masih ada lagi yang prihatin dengan nasib mereka suami isteri dan membantunya memohon rumah bagi Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) baru-baru ini.

Sementara itu, Mas Ermieyati berkata, pihaknya akan menyokong permohonan itu yang mana rumah berkenaan ingin dibina di atas tanah arwah ibu mereka selain akan melihat keperluan-keperluan lain yang boleh dibantu bagi keluarga itu.

"Saya difahamkan ini tanah arwah ibu dan harap proses itu dapat dipercepatkan agar mereka dapat tinggal dalam rumah yang lebih selesa.

"Kerjasama di antara Majlis Perwakilan Komunti Kampung (MPKK) juga perlu bagi kita mengenal pasti insan-insan seperti ini untuk kita bantu," katanya.