Fi daftar AVRF dimansuhkan, kata Anthony Loke

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kerajaan hari ini bersetuju untuk memansuhkan Fi Pendaftaran Ad Valorem (AVRF) sedia ada yang dikenakan ke atas kenderaan jenis treler dan semi treler binaan tempatan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Pemansuhan AVRF itu akan dikuatkuasakan dalam tempoh dua bulan bagi membolehkan semua urusan pindaan kaedah dan persiapan sistem pendaftaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) disempurnakan, katanya dalam sidang media di sini hari ini.

AVRF adalah fi pendaftaran yang dikenakan ke atas kenderaan bermotor yang kaedah perkiraannya adalah berdasarkan kepada nilai sesuatu barangan yang digunakan untuk pembuatan kenderaan tersebut serta kenderaan terlibat telah dikecualikan daripada duti import dan duti eksais.

Loke berkata Kementerian Pengangkutan meneliti semula pelaksanaan AVRF semasa dan mendapati terdapat beberapa isu berbangkit melibatkan peningkatan kos menjalankan perniagaan serta suasana persaingan yang tidak seimbang.

Anthony berkata suasana persaingan yang tidak seimbang berpunca daripada kos kenderaan binaan tempatan lebih tinggi berbanding kenderaan import.

Menurutnya, peraturan semasa adalah kenderaan yang telah dikecualikan duti import termasuk kenderaan binaan tempatan akan dikenakan AVRF semasa pendaftaran serta cukai jualan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Bagi kenderaan import pula, AVRF telah dikecualikan kerana telah dikenakan duti import selain turut dikenakan cukai jualan.

"Namun begitu, Malaysia pada masa ini telah menandatangi bilateral free trade agreements (FTA) dengan beberapa negara termasuk Jepun, Pakistan, India, ASEAN, China dan Korea Selatan.

Artikel Berkaitan:

"Menerusi FTA tersebut, treler dan semi treler yang diimport dari negara yang terlibat telah dikecualikan daripada bayaran duti import," katanya.

Di samping itu, pengecualian cukai jualan juga telah diberikan ke atas treler kontena yang dibeli daripada pengilang yang dilesenkan di bawah Akta Cukai Jualan 1972.

"Oleh yang demikian, semua kenderaan import yang terlibat dalam pengecualian duti import dan cukai jualan secara amnya telah dikecualikan daripada sebarang kenaan bayaran fi termasuk pengecualian AVRF," katanya.

Anthony berkata, ini telah mewujudkan suasana persaingan tidak seimbang dalam kalangan pembuat kenderaan binaan tempatan yang telah dikenakan AVRF serta cukai jualan.

Tambahnya, pembuat kenderaan tempatan juga terpaksa bersaing dengan pembekal kenderaan import baharu yang mempunyai elemen kos yang lebih rendah dan kompetitif.

Beliau berkata pemansuhan itu juga akan mewujudkan persekitaran perniagaan yang seragam antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Jelas Loke, pada masa ini hanya pemilik kenderaan yang mengimport kenderaan ke Semenanjung Malaysia daripada Sabah dan Sarawak sahaja yang dikecualikan daripada bayaran AVRF.

"Penyeragaman dasar fi kenderaan yang dikenakan terhadap treler dan semi treler yang dibina di Semenanjung, Sabah dan Sarawak akan memastikan kenderaan yang dibina di seluruh Malaysia menikmati keistimewaan yang sama," katanya.

Ditanya dari segi kualiti industri tempatan dalam binaan badan kenderaan, Loke berkata beliau yakin industri tempatan dengan pengalaman antara 40 dan 50 tahun itu mampu bersaing dengan pengedar kenderaan yang diimport dari luar negara.- Bernama