Kempunan balik kampung sambut Ramadan

Seramai 41 PATI yang cuba keluar dari perairan negara ditahan polis, semalam. - Foto Ihsan Polis
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 41 pendatang asing tanpa izin (PATI) kempunan pulang ke kampung halaman masing-masing sempena Ramadan selepas dicekup polis ketika cuba keluar dari perairan negara di Pulau Kukup, awal pagi kelmarin.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, kesemua PATI termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun itu bersesak dalam sebuah bot pancung.

"PPM Wilayah Dua Kukup telah berjaya menangkap seorang tekong laut warga Indonesia dan 41 orang PATI selepas memintas sebuah bot pancung di laut Kukup dalam Ops Gelora pada awal pagi hari ini (semalam).

"Kesemua PATI 27 lelaki, 13 perempuan dan seorang kanak-kanak perempuan itu dipercayai dari sekitar Johor dan beberapa negeri lain mahu pulang ke Indonesia untuk menyambut puasa dan raya," katanya dalam kenyataan, semalam.

Polis merampas sebuah bot pancung berukuran 40x8 kaki lebar dengan dua enjin sangkut.

Menurut Paul, kes disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran ATIPSOM 2007 dan Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).

Pada bulan ini, PPM Wilayah Dua merampas enam buah bot serta tujuh unit enjin sangkut yang digunakan oleh sindiket penyeludupan PATI.