X

Kindly register in order to view this article
!

Sindiket curi kereta lama tumpas

Shafa'aton (dua dari kanan) menunjukkan antara barangan yang dirampas susulan penahana enam ahli kumpulan Ragu sebelum ini.
A
A

SUNGAI BULOH - Satu sindiket didalangi ahli 'Geng Ragu' berjaya ditewaskan oleh polis menerusi satu operasi tangkapan yang dilakukan di sebuah rumah berhampiran Jalan Matang Jaya pada 18 April lalu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Shafa'aton Abu Bakar berkata menerusi tangkapan itu, pihaknya berjaya memberkas enam suspek dipercayai ahli kumpulan terbabit yang giat melakukan kegiatan mencuri kenderaan lama dan lori untuk dijual sebagai alat ganti semula dengan harga murah.

Dengan kejayaan tersebut, beliau berkata pihaknya telah menyelesaikan sebanyak tujuh kes yang dilaporkan sebelum ini membabitkan kehilangan empat buat kereta dan tiga buah lori di sekitar daerah Sungai Buloh.

"Keenam-enam suspek yang ditahan itu berusia 27 hingga 27 tahun dan mereka dipercayai aktif melakukan kegiatan berkenaan sejak tahun lalu sehingga kini," katanya pada sidang media yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh hari ini.

Mengulas lanjut mengenai penahanan itu, Shafa'aton berkata pada 17 April lalu, pihaknya menerima laporan daripada seorang mangsa yang kehilangan sebuah lori selepas kenderaan itu diparkir di hadapan sebuah premis sekitar Pusat Komersil TSB Sungai Buloh.

Menerusi hasil maklumat yang diperolehi, Shafa'aton berkata pihaknya telah membuat tangkapan terhadap enam suspek berkenaan di dua lokasi berasingan sekitar Damansara Damai dan kawasan perumahan Jalan Kusta.

"Berikutan tangkapan itu, polis telah membuat serbuan di sebuah rumah sekitar Jalan Matang Jaya dan merampas pelbagai jenis barangan seperti mesin pemotong rumput jenis tolak, mesin pemotong rumput jenis galas dan mesin peniup angin.

"Selain itu, suspek terlibat turut membawa polis ke tempat letak kenderaan di Apartment Suria, Jalan PJU10/4B dan menjumpai sebuah lori serta kereta yang dilaporkan hilang sebelum ini," katanya.

Dalam pada itu, Shafa'aton berkata pihaknya berjaya menyelesaikan kes tersebut dalam tempoh kurang daripada 48 jam selepas laporan dibuat oleh pengadu di IPD Sungai Buloh.

Beliau berkata, hasil soal siasat juga mendapati lima daripada suspek mengaku mencuri lori tersebut di kawasan Sungai Buloh manakala seorang suspek lagi mengaku membeli kenderaan itu dengan harga RM1,800.

"Buat masa ini, semua suspek masih ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

"Dengan tertangkapnya ahli kumpulan ini, polis percaya sindiket didalangi kumpulan Ragu ini telah berjaya ditewaskan," katanya.