Bicara kes SRC Najib: Ahli perniagaan terima cek RM2.5 juta

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Perniagaan, Habibul Rahman Kadir Shah ada menerima pembayaran cek berjumlah RM2.5 juta pada 2015.

Perkara itu disahkan seorang peguam Ashraf Abdul Razak, 48, yang merupakan bekas rakan kongsi firma guaman Tetuan Zulkarnain & Co, pada prosiding perbicaraan hari ke-8 SRC International Sdn Bhd (SRC International) yang dihadapi Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Saksi ke-18 pendakwaan itu memaklumkan, cek itu diterima Habibul Rahman atas khidmat rundingan bagi satu projek bekalan pertahanan.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi semasa sesi pemeriksaan utama perbicaan hari ke-8 hari ini, Ashraf memaklumkan beliau menjadi peguam peribadi kepada tokoh korporat itu sejak tahun 1996.

"Saya dimaklumkan oleh Habibul Rahman, terdapat pembayaran bagi yuran kontrak pertahanan, di mana saya diminta untuk menerima pembayaran itu,"katanya.

Jelas beliau, selepas menerima cek tersebut, dia telah mendepositkan cek dan menunggu arahan selanjutnya daripada Habibul Rahman yang pernah menjadi penasihat media Najib.

“Arahan secara berkala juga diberi untuk mengeluarkan cek kepada pihak lain yang ditentukan oleh beliau serta beberapa cek tunai,” katanya di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Ditanya adakah beliau pernah bertanya siapakah yang mengeluarkan cek berkenaan, Ashraf berkata beliau tidak pernah bertanya kerana kedudukan Habibul Rahman yang disegani sebagai tokoh korporat dan ahli pengarah beberapa syarikat berkaitan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Ashraf juga memaklumkan semua pembayaran berjumlah RM2.5 juta itu sudah dilunaskan termasuk bayaran guaman kepada pihaknya yang berjumlah RM50,000.

Pada 18 April lalu, Pengurus Kanan Bahagian Pemprosesan Cek, Ambank Sdn Bhd, Badrul Hisam Mohamad mengesahkan beberapa transaksi cek milik Ambank dan AmIslamic Bank yang dilakukan antara Disember 2014 dan Mac 2015 melalui akaun bernombor 2022011906 milik bekas Perdana Menteri itu.

Saksi itu mengesahkan terdapat 17 keping cek yang dikeluarkan atas nama individu, parti politik dan atas nama syarikat termasuk Tetuan Zulkarnian & Co berjumlah 2.5 juta.