Daftar pemilih atas talian dijangka dilancar lepas raya

Shafie (kiri), Zainuddin (tengah) dan Penyelia Kanan Jabatan Pendidikan Johor, Azman Ansar pada sidang media, hari ini.
Shafie (kiri), Zainuddin (tengah) dan Penyelia Kanan Jabatan Pendidikan Johor, Azman Ansar pada sidang media, hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka melaksanakan pendaftaran pemilih secara atas talian, Jun ini.

Pengarah Pejabat Pilihan Raya Johor, Shafie Taib berkata, usaha itu bagi meningkatkan jumlah pemilih menjelang pilihan raya umum akan datang.

"Insya-ALLAH tahun ini akan dilancarkan dalam masa akan datang. Mungkin aplikasi itu akan dilancarkan selepas Aidilfitri yang membolehkan pendaftaran pemilih dibuat atas talian.

"Ikut rekod ada 46,000 rakyat negeri ini yang layak mengundi tapi masih belum mendaftar jadi kita jalankan pelbagai usaha termasuk aplikasi ini untuk tingkatkan jumlah pengundi berdaftar," katanya kepada pemberita pada sidang media pada Program Amalan Demokrasi Berparlimen di Maktab Sultan Abu Bakar Johor Bahru, hari ini.

No Image Caption

Sebelum ini, Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun mengumumkan aplikasi yang sedang dibangunkan di fasa akhir itu dijangka dilancarkan tahun ini.

Dalam pada itu, Shafie berkata, pihaknya menyasarkan pelajar sekolah menengah sebagai persediaan kepada bakal pengundi sekiranya had umur layak mengundi diturunkan nanti kepada 18 tahun.

"Kita ada 1.83 juta pengundi berdaftar di Johor dan sekarang dalam proses penambahbaikan bagi menarik pengundi baharu melalui program pendidikan.

Artikel Berkaitan:

"Kami pilih sekolah menengah kerana sekarang ini telah diwar-warkan kerajaan akan menurunkan had umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun jadi apabila Parlimen bersetuju nanti, SPR sudah bersedia dengan bakal pengundi melalui pendidikan di sekolah," katanya.

Dalam program yang dijalankan melibatkan 20 sekolah dari empat daerah dengan penyertaan 300 pelajar, Akademi SPR menjalankan simulasi proses pengundian sebenar bermula daripada pendaftaran pemilih sehingga ke pengumuman keputusan.

Pelajar diberi peluang menjadi pemilih dalam simulasi pilihan raya.
Pelajar diberi peluang menjadi pemilih dalam simulasi pilihan raya.

Dalam pada itu, Pengarah Penerangan Johor, Zainuddin Ismail berkata, kerjasama antara pihaknya dengan SPR itu bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang muda untuk menunaikan tanggungjawab apabila tiba masanya nanti.

"Kita dapat lihat bagaimana peserta teruja melihat proses sebenar pengundian sebab sesetengah daripada mereka tak pernah tengok peti undi dan karung penjumlahan undi itu pun.

"Penerangan akan terus kerjasama dengan SPR untuk kurangkan jumlah pemilih layak tapi tak berdaftar itu," katanya.