Kabinet belum buat keputusan penghapusan had harga RON95

Saifuddin Nasution Ismail - Foto Bernama
Saifuddin Nasution Ismail - Foto Bernama
A
A
A
PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kabinet masih belum membuat sebarang keputusan akhir berkenaan penghapusan had paras harga petrol RON95, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, pengekalan harga minyak RON95 adalah sebagai usaha kerajaan melindungi rakyat daripada terdedah kepada harga petrol yang tinggi dan tidak menentu.

“Kabinet masih belum membuat sebarang keputusan akhir berkenaan penghapusan had paras harga bagi petrol RON95. Harga seliter bagi petrol RON95 buat masa sekarang kekal pada RM 2.08.

“Inisiatif berkenaan merupakan salah satu usaha kerajaan dalam melindungi rakyat daripada terdedah kepada harga petrol yang tinggi dan tidak menentu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelas Saifuddin, penstabilan harga runcit minyak dan pelaksanaan subsidi bersasar adalah salah satu komitmen manifesto Pakatan Harapan pada Pilihanraya Umum ke-14 yang lepas dan bukannya RM1.50 seliter bagi petrol RON 95 seperti yang berlegar-legar di ruang media sosial.
Artikel Berkaitan:


"Penstabilan harga runcit minyak telah pun dilaksanakan dan kerajaan komited melaksanakan subsidi bersasar supaya hanya golongan yang layak dan memerlukan sahaja menerima subsidi petrol ini," ujar beliau.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, kerajaan sentiasa mendengar dan terbuka untuk mendengar cadangan daripada rakyat berkenaan pelaksanaan subsidi bersasar itu agar niat dan objektif di sebalik dasar tersebut tercapai.