ADUN BN persoal kenapa Exco tak jawab soalan

Abdul Razak bertanya soalan lisan kepada Mohamad Nazaruddin.
A
A

SEREMBAN - Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Gemencheh) mempersoalkan kenapa soalan lisan ditanya oleh Datuk Abdul Razak Ab Said (BN-Gemas) berkenaan peruntukan bagi memperkasakan budaya dan adat bukannya dijawab oleh Exco berkaitan iaitu Mohamad Nazaruddin Sabtu (PH-Pilah).

Sebaliknya soalan itu dijawab oleh Mohamad Taufek Abd Ghani (PH-Paroi) meskipun Mohamad Nazaruddin yang merupakan Exco Kesenian, Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu ada di dalam dewan pada Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kedua DUN Negeri Sembilan Yang Ke-14, hari ini.

"Saya hanya mahu dapatkan penjelasan kenapa Exco berkaitan (Mohamad Nazaruddin) tidak jawab soalan?," katanya.

Datuk Ismail Lasim (BN-Juasseh) turut membangkitkan perkara sama lantas dijawab S Veerapan(PH-Repah) yang mana ketika kerajaan BN terdahulu, semua soalan dijawab oleh Menteri Besar.

Tidak berpuas hati jawapan itu, Noor Azmi Yusof (BN-Pertang) memohon kerajaan negeri memberitahu status sebenar Mohamad Nazaruddin lebih-lebih lagi isu itu turut tular di media sosial.

Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Sikamat) lantas menjawab tiada peraturan menyatakan Menteri Besar atau sesiapa saja tidak boleh menjawab soalan yang ditujukan kepada Exco lain.

"YB Paroi membantu YB Pilah jawab soalan. Saya rasa tiada masalah dan tiada juga peraturan menyatakan Menteri Besar tidak boleh jawab.

"Jadi saya rasa isu itu tidak perlu dipanjangkan dan boleh siapa saja jawab dan macam semalam pun ada soalan yang sepatutnya saya jawab, tapi dijawab orang lain," katanya.

Datuk Zaifulbahri Idris (BN-Chembong) berkata, memang benar, sesiapa boleh jawab tapi ini soalan lisan.

Kemudian Abdul Razak berkata, beliau berharap akan datang ada sinar untuk Mohamad Nazaruddun untuk menjawab sendiri soalan diajukan kepadanya.