Helah simpan dadah dalam pasu bunga terbongkar

Osman(dua kanan) menunjukkan keadaan bekalan dadah ditemui polis, dipercayai disembunyikan dalam pasu bunga oleh suspek di rumahnya sebelum ini.
Osman(dua kanan) menunjukkan keadaan bekalan dadah ditemui polis, dipercayai disembunyikan dalam pasu bunga oleh suspek di rumahnya sebelum ini.
A
A
A

TAIPING - Helah seorang ahli Geng Prabu menyimpan bekalan dadah di dalam pasu bunga di halaman rumah akhirnya terbongkar apabila dia bersama seorang lagi ahli kumpulan itu dicekup polis dalam satu operasi khas di Aulong, di sini pada 19 April lalu.

Dalam serbuan di rumah suspek berkenaan di Taman Kami A, Aulong pada waktu awal pagi, polis menemui sejumlah 1.4 kilogram dadah jenis heroin dan syabu bernilai RM74,240 dipercayai disembunyikan dalam satu pasu bunga di halaman rumahnya.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, bermula 8 April lalu, pihaknya melancarkan satu Ops Jihad Dadah bagi mengesan sebuah sindiket pengedaran dadah sekitar daerah Taiping yang dikenali Geng Prabu.

Menurutnya, pada 19 April lebih kurang jam 12.20 tengah malam, sepasukan anggota risikan operasi Jabatan Siasatan Jenayah(JSJ) Ibu Pejabat Daerah(IPD) Taiping menahan seorang lelaki di tepi Jalan Sultan, Aulong sebelum merampas beberapa barang kes disyaki dadah.

"Suspek tangkapan pertama kemudiannya membantu kami menangkap seorang lagi suspek lelaki kedua di hadapan sebuah restoran 24 jam di Jalan Sultan, Aulong.

"Pada jam 4.30 pagi hari sama, suspek tangkapan kedua kemudiannya menunjukkan arah rumahnya di Taman Kami A, Aulong kepada pihak kami setelah dipercayai terdapat bekalan dadah disimpan.

"Pemeriksaan ke atas rumah suspek kedua membolehkan polis menjumpai sejumlah 1.4 kilogram dadah yang diletakkan di bahagian pasu rumah di luar rumahnya," katanya pada sidang media di bilik mesyuarat IPD Taiping di sini hari ini.

Osman berkata, rampasan dilakukan polis meliputi keseluruhan 542.3 gram dadah jenis syabu dan 873.6 gram dadah heroin. Turut dirampas pasu bunga, dua telefon bimbit, dan wang tunai RM2,370.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, keseluruhan dadah jenis heroin dirampas bernilai RM21,840 manakala dadah syabu RM52,400 yang membawa jumlah keseluruhan RM74, 240.

"Suspek pertama dicekup berusia 20-an, manakala suspek kedua berusia 30-an dan kedua-duanya merupakan orang tempatan.

"Kumpulan ini dipercayai bergiat aktif mengedar dadah di sekitar Taiping sejak awal tahun 2018 dan akan menentukan tempat atau kawasan untuk proses pengedaran dadah sekiranya mendapat panggilan pelanggan," katanya.

Osman berkata, suspek pertama mempunyai enam rekod jenayah harta benda dan satu rekod jenayah narkotik, manakala suspek kedua mempunyai satu rekod jenayah narkotik.

Menurutnya, kedua-dua suspek kini masih reman sehingga 24 April dan kes disiasat di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya.

"Polis menyeru kepada orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kes jenayah agar disalurkan kepada polis bagi membantu membanteras kejadian jenayah di daerah ini," katanya.