Bayi 10 bulan maut nahas

Keadaan kereta dinaiki empat sekeluarga yang terbalik hingga mengorbankan nyawa bayi berkenaan.
Keadaan kereta dinaiki empat sekeluarga yang terbalik hingga mengorbankan nyawa bayi berkenaan.
A
A
A

KUANTAN - Seorang bayi berusia 10 bulan maut selepas kereta dipandu bapanya terbabas sebelum terbalik di Kilometer 31, Jalan Kuantan-Segamat di sini, pagi tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 6.30 pagi itu, mangsa, Nurul Afiqah Umaira Muhammad Hafiq yang berada di ribaan ibunya di kerusi penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Bapa mangsa, Muhammed Hafiq Halim, 27, ibu, Roslinawati Ismail, 28 dan kakaknya, Nurul Atiqah Umaira, 3, cedera.

Ketua Jabatan Siasatan dan penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, kereta jenis Proton Iswara dinaiki empat sekeluarga beralamat dari Sungai Karang di sini itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Segamat menghala ke Kuantan.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, kenderaan terbabit dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan terbalik.

"Akibat kejadian, mangsa yang berada di ribaan ibunya cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk proses bedah siasat manakala ahli keluarganya yang cedera turut dihantar menerima rawatan di hospital sama,” katanya.

Kamarulzaman berkata, kemalangan meragut nyawa bayi itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan:

“Siasatan masih dijalankan dan kita juga meminta saksi kejadian tampil bagi membantu siasatan itu,” katanya.