Pengemis 'buta' bertongkat larikan diri diekori JKM

Individu dipercayai menyamar mempunyai masalah penglihatan bertindak melarikan diri ketika Operasi Membanteras Pengemisan di sekitar ibu kota pada Selasa.
Individu dipercayai menyamar mempunyai masalah penglihatan bertindak melarikan diri ketika Operasi Membanteras Pengemisan di sekitar ibu kota pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pengemis warga asing bertongkat melarikan diri ketika menyedari kehadiran pihak berkuasa dalam Operasi Membanteras Pengemisan di sekitar ibu kota pada Selasa.

Pengemis lelaki berumur lingkungan 50-an itu pada mulanya dilihat mempunyai masalah penglihatan merayau-rayau di sekitar kawasan Masjid India.

Kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang melihat pengemis tersebut dalam keadaan mencurigakan kemudian bertindak mengekori individu tersebut.

Bagaimanapun, individu dipercayai menyamar mengalami kecacatan penglihatan itu melarikan diri sebaik sahaja menyedari dirinya diekori.

Operasi sama turut berjaya menyelamat seorang wanita warga asing yang membawa anaknya dipercayai mengemis sekitar Masjid Jamek Kampung Baru di sini.

Wanita tersebut dipercayai baru 17 hari melahirkan anak itu menjadikan lokasi di hadapan masjid tersebut untuk meraih simpati orang ramai.

Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia, Norazman Othman berkata, seramai 16 individu diselamatkan menerusi operasi ini.

"Antara yang diselamatkan terdiri 10 warga asing dan enam warga tempatan terdiri daripada umur 17 hari sehingga 55 tahun.

"Kesemua mereka diselamatkan ini dibawa ke Pejabat JKM Kuala Lumpur untuk tindakan dan proses yang selanjutnya," katanya.

Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia Norazman Othman (tengah) ketika sidang akhbar Operasi Membanteras Pengemisan di sekitar ibu kota pada Selasa.
Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia Norazman Othman (tengah) ketika sidang akhbar Operasi Membanteras Pengemisan di sekitar ibu kota pada Selasa.

Turut hadir sama dalam operasi adalah Timbalan Menteri Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu.

Beliau berkata, operasi dijalankan itu turut melibatkan nilai kutipan wang oleh kesemua pengemis diselamatkan berjumlah RM9,668.

Mengulas lanjut katanya, operasi terbabit akan terus dipergiatkan dari masa ke masa yang akan dijalankansecara berkala dan bersepadu.

"Kuala Lumpur merupakan ibu negara yang bertaraf bandar raya menjadi lokasi tumpuan pengemis untuk menjana pendapatan mereka," katanya.

Ujar Norazman, bagi mengekang aktiviti mengemis berleluasa, JKM menyeru orang awam agar memastikan surat yang ditunjukkan oleh individu atau pertubuhan untuk membuat kutipan derma mendapat kebenaran pihak berkuasa.

Selain itu katanya, orang ramai digalakkan membuat aduan kepada JKM berhampiran atau melalui panggilan ke Talian Kasih 15999 atau WhatsApp 019261599 sekiranya mendapati terhadap aktiviti mengemis.