Tun M dijangka bertemu Presiden, Perdana Menteri China sempena BRF Ke-2

Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Republik Rakyat China, Xi Jinping dan Perdana Menteri, Li Keqiang sempena lawatan ke negara tersebut selama lima hari mulai hari ini.

Semasa pertemuan tersebut, pemimpin kedua-dua negara dijangka akan membincangkan pelbagai perkara merangkumi isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

"Perdana Menteri Li dan Dr. Mahathir juga dijangka akan menyaksikan pemeteraian Perjanjian Persefahaman (MoU) bagi kerjasama dalam bidang minyak sawit," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pertemuan itu adalah sebahagian daripada penyertaan negara dalam Forum Untuk Kerjasama Antarabangsa Jalur dan Laluan (BRF Ke-2) dengan tema Kerjasama Jalur dan Laluan: Membentuk Perkongsian Masa Depan Yang Cerah yang akan diadakan di Beijing.

Perdana Menteri dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali akan diiringi Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ignatius Darell Leiking.

Pada forum tersebut, Dr Mahathir telah dijemput menyampaikan ucapan dan pandangan beliau semasa Mesyuarat Peringkat Tinggi dan Mesyuarat Meja Bulat Pemimpin dengan tema Memperkukuh Sinergi Dasar dan Membina Kerjasama Erat. Sehingga 23 April, seramai 37 pemimpin dunia telah mengesahkan kehadiran ke forum tersebut.

"Kehadiran Perdana Menteri pada BRF Ke-2 membawa makna yang penting memandangkan Malaysia sentiasa memberi sokongan berterusan kepada Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), terutamanya dalam isu-isu pembangunan seperti sinergi dasar, pembangunan infrastruktur, kerjasama kewangan dan perhubungan di antara rakyat kepada rakyat," katanya.

Selain daripada program rasmi, Perdana Menteri akan turut mengadakan lawatan ke beberapa syarikat berteknologi tinggi di Beijing seperti Huawei Technologies and SenseTime Private Ltd. Beliau juga dijadualkan akan bertemu dengan pelabur-pelabur utama, penganalisis modal antarabangsa dan komuniti perniagaan yang terkemuka di Beijing.

Artikel Berkaitan:

"China adalah rakan rapat dan negara yang penting buat Malaysia. Lawatan kali ini dijangka akan memperkukuhkan lagi ikatan persahabatan di antara kedua negara serta memacu pertumbuhan kerjasama yang lebih luas di antara kedua-dua negara," ujarnya.