Azwanddin didakwa ugut serang balai polis, aibkan orang awam

Azwanddin Hamzah
Azwanddin Hamzah
A
A
A

KLANG - Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang atas dua pertuduhan mengugut pegawai polis untuk menyerang balai polis dan mengaibkan seorang individu dalam satu perhimpunan, Disember lalu.

Azwanddin bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu yang dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret, Solehah Noratikah Ismail dan Muhammad' Azzam Zainal Abidin, hari ini.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa telah melakukan ugutan jenayah terhadap Ketua Balai Polis Klang, Asisten Superintendan Harun Abu Bakar untuk menyerang balai polis berkenaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Dataran Seni Off Jalan Melayu, Pusat Bandar Klang, jam 6.15 petang pada 25 Disember lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 502 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fairus Johari mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin.

Solehah Noratikah membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjara.

Sementara itu, di hadapan Majistret Muhammad' Azzam, Azwanddin mengaku tidak bersalah mengaibkan D Arumugam yang boleh mengganggu keamanan.

Artikel Berkaitan:

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Majistret membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut memerintahkan Azwanddin melaporkan diri setiap bulan di balai polis berdekatan.

Kedua-dua kes ditetapkan 24 Mei sebagai sebutan semula.

Dalam Perhimpunan Aman Keadilan Untukmu Adib dan Desakan Pecat P Waytha Moorthy di Klang, Disember lalu, Azwanddin mengeluarkan kenyataan akan menyerang Balai Polis Klang jika pihak yang menyebabkan rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman dan kematian pegawai bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim tidak ditangkap.

ARTIKEL BERKAITAN: Ugut serang balai: Azwanddin ditahan polis

Dalam perhimpunan tersebut, lebih 1,000 peserta memakai baju berwarna hitam berarak sejauh 400 meter dari Masjid Bandar Diraja Klang ke Dataran Seni.

Mereka berarak dengan membawa sepanduk ‘Justice for Adib’ dengan tujuh tuntutan dari Gerakan Rakyat Malaysia (Geras) yang menjadi penganjur perhimpunan itu.

Tujuh tuntutan itu antaranya memberi masa selama 40 hari supaya kerajaan menyelesaikan itu tersebut.