Projek ECRL tak pinggir penglibatan rakyat, kata MB Terengganu

Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
A
A
A

MARANG - Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) tidak akan meminggirkan penglibatan rakyat tempatan khususnya dalam kegiatan ekonomi.

Beliau berkata, rakyat tempatan termasuk kontraktor-kontraktor kecil akan diberi keutamaan dalam pelbagai bidang termasuk pembekalan makanan dan elektrikal yang boleh merancakkan lagi ekonomi negeri.

Menurut beliau, perkara itu berdasarkan perbincangannya bersama Ketua Pegawai Operasi (COO) Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) di pejabat Menteri Besar di Wisma Darul Iman, sebelum ini.

"Kerajaan negeri dan MRL bersetuju untuk menubuhkan satu jawatankuasa (khas) bagi memantau perkara-perkara seperti ini kerana ada beberapa aspek pelaksanaan ECRL masih memerlukan pertimbangan dan kelulusan daripada pihak kami.

"Jadi saya minta rakyat merebut peluang yang ada dan jangan sampai jatuh ke tangan orang luar yang tidak ada kena-mengena," katanya kepada media selepas merasmikan Stesen Bas Marang di sini, malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Terengganu, Datuk A Rahman Yahya dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman.

Dr Samsuri, berkata rakyat di Terengganu juga tidak perlu risau dengan kebanjiran pekerja dari China apabila projek ECRL disambung semula memandangkan tenaga kerja dibawa masuk hanya golongan pakar.

"Oleh kerana pembinaan ECRL dari Kuala Lumpur ke Kelantan adalah secara bersama antara MRL dan China Communication Constructions Ltd (CCCC), kita bimbang akan berlaku kebanjiran pekerja dari China.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun selepas mendapat kepastian daripada MRL, kita boleh menarik nafas lega kerana yang datang hanya tenaga pakar yang berkait langsung dengan pembinaan ECRL," katanya.

Beliau berkata, pekerja pekerja dari negara China itu juga akan ditempatkan di kuarters khas dan tidak bercampur dengan masyarakat tempatan yang dikhuatiri akan mencetuskan isu sosial dan budaya.