Isu royalti minyak: MB Kelantan mahu wakil Pusat hadir mahkamah

Ahmad (kanan) beramah mesra bersama peserta konvensyen di KTC malam tadi.
Ahmad (kanan) beramah mesra bersama peserta konvensyen di KTC malam tadi.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan harap wakil kerajaan Persekutuan hadir ke mahkamah bagi membolehkan proses penarikan saman berhubung isu royalti minyak pada 17 Mei ini dapat diselesaikan.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, tarikh tersebut merupakan tarikh baru yang diputuskan hakim setelah tiada wakil kerajaan Persekutuan mahupun Petronas hadir pada 17 April lalu.

"Mereka tidak hadir, maka terpaksalah hakim putuskan tarikh baru kerana proses tersebut perlu dilakukan di dalam mahkamah dan dihadiri kedua-dua belah pihak iaitu kerajaan dan Petronas.

“Maka sempena Ramadan yang mulia ini, kami harap mereka semua akan hadir supaya semua urusan dapat dilaksanakan dengan baik," katanya ketika sidang akhbar di sini, malam tadi.

Beliau hadir merasmikan Konvensyen al-Quran Peringkat Antarabangsa di Kelantan Trade Centre (KTC), di sini.

Terdahulu, beliau diminta mengulas mengenai status terkini proses penarikan saman kerajaan negeri kepada kerajaan Persekutuan berhubung isu tuntutan royalti yang sepatutnya telah diselesaikan minggu lalu.

Penantian puluhan ribu rakyat negeri ini hampa kerana tiada sebarang berita dimaklumkan mengenai perkara tersebut walaupun ia dikatakan sudah berada di peringkat akhir.

Sebelum ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali didakwa berkata kerajaan Persekutuan akan menunaikan pembayaran balik royalti minyak tersebut secara terus kepada kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam perkembangan lain, mengulas mengenai konvensyen tersebut, beliau berkata, ia merupakan acara tahunan dan kali kedua diadakan selepas tahun 2018.

"Program ini berlangsung selama empat hari bermula 21 hingga 25 April ini dan mendapat 235 orang penyertaan membabitkan tujuh negara. Antara negara yang hadir adalah Mesir, Thailand, Indonedia, Singapura, Kemboja, Myanmar dan Brunei.

“Konvensyen ini adalah tahun kedua dilaksanakan dan kita berharap ia dapat dijadikan program tahunan dengan penyertaan yang lebih ramai dari pelbagai negara,” katanya.