Mekanik dipenjara setahun, cucuh isteri dengan gunting panas

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA PILAH - Padah mencederakan isteri dengan menggunakan gunting panas menyebabkan seorang mekanik dihukum penjara setahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Pilah di sini pada Isnin.

Hakim, Norma Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Faiz Shahruddin, 28, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, dia dengan sengaja mencederakan isterinya yang berusia 27 tahun dengan cara mencucuh benda hangat iaitu sebilah gunting yang dipanaskan pada jari telunjuk kiri wanita itu.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah bengkel motosikal di Felda Jelai pada jam 10.30 malam, 13 Disember tahun lalu.

Berikutan itu, tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A akta yang sama.

Mengikut fakta kes, kejadian itu berlaku ketika isteri tertuduh membantunya membaiki radio dan berlaku pertengkaran mulut kerana isteri tertuduh tidak memegang radio yang sedang dibaiki dengan betul.

Tertuduh telah mengambil gunting panas dan mencucuh ke jari telunjuk tangan kiri isterinya selain turut menumbuk kepala sebelah kanan mangsa.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini media melaporkan pada 16 Disember tahun lalu, tertuduh dihadapkan ke mahkamah sama namun tidak mengaku salah atas pertuduhan yang sama.