Mesyuarat sekretariat bincang hala tuju ekonomi negara

Anwar mempengerusikan mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan di Menara Dato Onn Kuala Lumpur malam Ahad. - Foto: Bernama
Anwar mempengerusikan mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan di Menara Dato Onn Kuala Lumpur malam Ahad. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan kali kedua yang diadakan pada Ahad bertujuan membincangkan hala tuju ekonomi dan pembangunan negara.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia memandangkan Malaysia kini telah menerima kemasukan pelabur dari luar.

"Kita sedia maklum antara pelaburan besar yang memasuki Malaysia kini adalah daripada syarikat Amazon dan juga projek tenaga hidroelektrik melibatkan Sarawak dan Indonesia.

"Beberapa rencana lain pula adalah seperti mengadakan konvensyen bersama rakan parti Kerajaan Perpaduan lain supaya ia dapat membulatkan hala tuju yang sama," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan kali kedua di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Selain itu, turut serta, Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Fadillah Yusof, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Dalam perkembangan lain, Anwar menegaskan mesyuarat itu turut membawa pendirian sifar perkauman dalam negara.

"Konsensus ini menekankan komitmen bahawa kami sebulat suara untuk sedaya upaya membela setiap rakyat," ujarnya.