Pengawal keselamatan meninggal dunia selepas sehari dirawat

Kereta yang dipercayai melanggar motosikal mangsa di persimpangan Jalan Sungai Buloh pada Sabtu.
Kereta yang dipercayai melanggar motosikal mangsa di persimpangan Jalan Sungai Buloh pada Sabtu.
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang lelaki warga emas maut apabila motosikal yang ditunggang dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di persimpangan Jalan Sungai Buloh di sini pada Sabtu.

Mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu dipercayai dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di Damansara menuju ke rumah di Paya Jaras, Sungai Buloh.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 7.30 pagi ketika mangsa menunggang motosikal jenis Honda Wave.

"Mangsa berumur 62 tahun dipercayai dilanggar sebuah kereta jenis Proton Persona yang dipandu seorang wanita berumur lingkungan 30-an.

"Ketika kejadian, kereta dipandu wanita berkenaan dipercayai membelok ke kanan lalu melanggar motosikal ditunggang mangsa," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Katanya, mangsa yang mengalami kecederaan parah dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan selanjutnya.

"Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia kira-kira jam 2.58 petang pada Ahad.

"Proses bedah siasat akan dijalankan untuk mengenal pasti punca dan sebab kematian mangsa," katanya.

Ujar Fakhrudin, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Petaling Jaya Inspektor Mohamad Khairil Helmi Mohamad Isa di talian 019-3318339," katanya.