'Kami tak mampu, tandas pun terpaksa menumpang'

Rohani bersama suaminya mengimpikan rumah yang selesa untuk anak-anak mereka membesar.
A
A

AYER HITAM - Sepasang suami isteri bersama lima anak berusia antara dua hingga 14 tahun terpaksa hidup dalam serba kekurangan di sebuah rumah yang tidak sempurna di Kampung Matang Mahang, di sini sejak tiga tahun lalu.

Bukan sahaja terpaksa menyambung bekalan air dan elektrik dari rumah ibunya, malah bahagian tingkap, pintu dan dinding rumah yang tidak siap juga terpaksa ditampal dengan zink untuk keselamatan keluarga mereka.

Menurut Rohani Othman, 40 keadaan keluarganya semakin sukar apabila suaminya, Syukri Mustafa, 41, tidak dapat bekerja selepas cedera akibat terjatuh ketika memanjat pokok asam di belakang rumah mereka, sebulan lalu.

Katanya, sejak itu, mereka sekeluarga hanya bergantung dengan duit upah sebanyak RM25 sehari yang diterimanya sebagai pembantu kedai makan.

"Sebelum ini, suami saya ada buat kerja kampung dengan gaji kira-kira RM500 sebulan. Dengan gaji itu bolehlah tampung duit susu dan belanja sekolah anak-anak.

"Tetapi sekarang Ini duit gaji saya itu terpaksa dibahagi untuk belanja sekolah anak, isi minyak motosikal dan juga belanja rumah setiap hari.

"Anak bongsu saya pun dah seminggu minum teh kerana susu tepungnya sudah habis," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Matang Mahang, semalam.

Rohani menunjukkan wayar yang disambung dari rumah mentuanya untuk mendapatkan bekalan elektrik.
Rohani menunjukkan wayar yang disambung dari rumah mentuanya untuk mendapatkan bekalan elektrik.

Sementara itu, tinjauan di rumah Rohani juga mendapati rumah yang didiami mereka sekeluarga tidak mempunyai bilik tidur, tandas, pintu bilik air dan dapur.

Katanya, mereka terpaksa menumpang tandas di rumah ibu mentuanya untuk mandi setiap hari.

"Saya dan suami tak mampu nak sediakan semua kemudahan itu untuk anak-anak kerana pendapatan kami hanya cukup untuk belanja rumah sahaja. Saya sebenarnya bimbang keselamatan anak-anak kerana sudah banyak kali ular masuk ke bahagian dapur melalui lubang-lubang yang tak ditutup.

"Rumah kami tepi bendang, kalau perasan ular masuk tak apa la, kadang-kadang nak tidur malam pun risau. Kalau boleh saya mohon bantuan untuk baiki rumah kami," katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Food Bank Utara, Sya Mothar berkata, pihaknya yang ke rumah Rohani Jumaat lalu terkejut melihat keadaan rumah keluarga terbabit.

Rohani berdiri di hadapan pintu rumahnya yang mana dinding terpaksa ditampal dengan atap zink.
Rohani berdiri di hadapan pintu rumahnya yang mana dinding terpaksa ditampal dengan atap zink.

Menurutnya, semasa tiba di rumah itu dengan membawa bekalan makanan dan susu, anak bongsunya yang berusia dua tahun terus memeluk susu dan minta ibunya membancuh susu.

"Kelmarin, saya dihubungi Lembaga Zakat Negeri Kedah bahawa keluarga ini penerima zakat sebanyak RM300 sebulan sejak Oktober tahun lalu tapi Rohani tidak mengetahuinya akibat masalah komunikasi. Alhamdulillah, saya minta mereka semak baki akaun dan memang ada duit terbabit.

"Saya harap duit itu dapat digunakan untuk menyambut kelahiran bayi mereka nanti selain membeli tilam berikutan mereka sekeluarga hanya tidur di atas alas yang sangat nipis,” katanya ketika dihubungi Sinar harian, di sini.

Orang ramai yang ingin membantu Rohani, boleh menghulurkan sumbangan melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0213429000092544 atas nama Rohani Othman atau menghubunginya di talian 010-2052357.