TH melangkah ke depan dengan lebih yakin

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Haji (TH) kini berada pada landasan tepat bagi membangunkan semula kredibiliti serta prestasi kewangannya dengan sokongan penuh kerajaan terhadap pelan penstrukturan dan pemulihan untuk mengukuhkan semula kedudukan institusi kewangan Islam itu.

Pelan tersebut yang dirangka dan dilaksanakan oleh pengurusan dan pentadbiran baharu yang kesemuanya terdiri daripada kalangan profesional membolehkan TH mencapai lebihan aset sebanyak RM1 bilion sebelum pembayaran hibah bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018.

TH berjaya mencatatkan jumlah aset RM76.5 bilion berbanding jumlah tanggungan RM75.5 bilion, sekali gus membolehkan agihan hibah tidak melebihi RM1 billion dibuat bagi tahun 2018 walaupun tidak pada kadar tinggi seperti sebelumnya memandangkan TH baharu sahaja pulih.

Pada 5 April lepas, TH mengumumkan agihan hibah sebanyak 1.25 peratus yang melibatkan pengagihan berjumlah RM913 juta kepada semua pendepositnya bagi tahun kewangan 2018.

Pengisytiharan hibah untuk tahun 2018 dibuat berdasarkan prestasi TH yang berjaya memenuhi dua syarat iaitu mempunyai keuntungan boleh agih dan aset melebihi liabiliti yang memenuhi seksyen 22 Akta Tabung Haji 1995.

Lebihan aset yang berjaya dicatat membuktikan kedudukan kewangan TH yang kembali pulih berbanding defisit RM4.1 bilion (jumlah tanggungan melebihi jumlah aset) yang dihadapinya berdasarkan laporan kewangan yang diaudit bagi tahun 2017.

Bagaimanapun, kejayaan pemulihan kedudukan TH yang dicapai oleh pengurusan dan pentadbiran baharu dengan sokongan penuh kerajaan dalam tempoh singkat enam bulan mendapat respons pelbagai dalam kalangan masyarakat.

Ia susulan pembayaran hibah sebanyak 1.25 peratus itu adalah paling rendah dalam sejarah TH sehingga menyebabkan ada yang sengaja mempolitikkan isu ini bahawa TH akan hilang pendeposit malah akan menjadi muflis.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Adakah isu hibah rendah sengaja dipolitikkan?

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zukri Samat dalam satu petikan berita menegaskan tidak berlaku sebarang pengeluaran luar biasa oleh pendeposit dan urusan di semua cawangan TH adalah seperti biasa.

Malah, dimaklumkan bahawa terdapat caruman deposit baharu yang dibuat seperti biasa selepas pengumuman agihan hibah, sekali gus membuktikan keyakinan pendeposit kepada institusi pengurusan dana haji ini masih berterusan.

Bahkan kalau dilihat di laman sosial rasmi TH di Facebook, penjelasan yang dibuat secara telus dan padat mengenai usaha penstrukturan dan pemulihan TH serta keadaan sebenar mengapa kadar hibah yang rendah dibayar untuk tahun 2018, mendapat respons positif dalam kalangan netizen.

Ini dapat dilihat apabila penerangan demi penerangan yang dilaksanakan oleh tenaga kerja TH di laman Facebook rasmi mereka mendapat lebih 1,500 'like’ berbanding golongan yang marah - diterjemahkan menerusi emotikon atau émoji’ - di mana jumlahnya tidak pun sampai mencecah 100 orang.

(Untuk pengetahuan, emoji adalah kod bahasa pesanan ringkas menggunakan simbol bergambar yang berasal daripada bahasa Jepun iaitu e-gambar dan moji-karakter).

Penerangan berterusan TH berkaitan isu ini menampakkan rakyat mula menerima dan faham situasi yang sedang berlaku.

Bagaimanapun, agak menyedihkan apabila masih ada segelintir pihak tertentu yang sengaja mempolemikkan isu ini sehingga timbul pertikaian sama ada ia semata-mata permainan politik jentera cybertroopers tertentu?

“Kami amat menekankan ketelusan dalam menjelaskan keadaan sebenar dan usaha kami dalam memulihkan TH. Kami sedaya upaya cuba untuk menggunapakai bahasa mudah di samping menghasilkan infografik bagi memudahkan pemahaman masyarakat khususnya para pendeposit.

“Insya-ALLAH TH akan mengamalkan ketelusan dalam urus tadbir. TH akan membuat laporan berkala setiap suku tahun bagi memastikan pendeposit dapat mengetahui status prestasi kewangan dan operasi TH secara berterusan,” kata Zukri dalam wawancara dengan Bernama baru-baru ini.

Menurut beliau, situasi TH tidak dapat lari daripada dipolitikkan oleh sesetengah pihak kerana terdapat beberapa orang ahli politik yang menganggotai barisan lama Lembaga Pengarah TH.

Isu ini turut hangat didebatkan memandangkan terdapat pilihan raya kecil yang berlangsung di beberapa kawasan sebelum ini.

“Tabung Haji kini diterajui oleh golongan profesional yang terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti pakar kewangan Islam, perundangan dan syariah,” jelas Zukri.

Profesionalisme serta integriti yang tinggi merupakan asas utama dalam pemilihan pentadbiran yang baharu oleh kerajaan dalam memastikan TH terus dipacu dengan lebih baik menuju ke depan.

Jangan mudah terpedaya pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi

Bagaimanapun, tindakan mempolemikkan atau mempolitikkan bayaran peratus hibah yang rendah ini sebenarnya merugikan umat Islam sendiri. Ini kerana ia akan hanya mencetuskan kegelisahan dalam kalangan para pendeposit dan mungkin mendorong mereka mengeluarkan simpanan di dalam akaun TH untuk mencari peluang pelaburan lain.

Pendeposit TH mungkin terdedah kepada skim pelaburan berisiko atau sindiket yang meragukan, yang mengambil kesempatan untuk menarik pelabur baharu. Mereka juga yang mungkin membuat keputusan terburu-buru tanpa memahami sepenuhnya risiko pelaburan yang diambil.

Perkara inilah yang menjadi kebimbangan buat TH.

Dalam menghadapi situasi pendeposit TH mungkin mengeluarkan simpanan mereka, Zukri menegaskan, TH mempunyai pegangan aset mudah tunai yang mencukupi untuk memenuhi pengeluaran pendeposit.

“Namun kebimbangan kami mungkin ada pendeposit yang terlalu fokus kepada keuntungan lalu membuat pengeluaran terburu-buru dan ditakuti terkena perangkap pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi tetapi berisiko tinggi.

“Nasihat kami bagi mereka yang hendak mengeluarkan simpanan untuk pelaburan lain, supaya berhati-hati, fahami dahulu konsepnya supaya tidak terjebak terutamanya dengan skim cepat kaya dan pastikan pelaburan yang dipilih adalah patuh syariah," katanya.

Kebelakangan ini semakin rancak pihak tertentu menggunakan isu agihan hibah rendah temasuk menerusi media sosial untuk mempromosi perkhidmatan atau skim pelaburan mereka bagi mendapatkan pelabur baharu.

Simpanan di TH selamat dan dijamin kerajaan

Biarpun demikian, apa yang penting dan ingin ditegaskan Zukri adalah simpanan di institusi kebanggaan umat Islam ini adalah selamat dan dijamin 100 peratus oleh kerajaan di bawah Seksyen 24 Akta Tabung Haji secara keseluruhannya tanpa had berbanding institusi kewangan komersial lain.

“Berbeza dengan bank komersial yang jaminannya hanyalah sehingga RM250,000 sahaja. Misalnya, kalau saya simpan RM1 juta dan berlaku sesuatu pada bank itu, hanya simpanan RM250,000 sahaja dilindungi oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM).”

“Jadi, kita lihat komitmen dan sokongan penuh kerajaan untuk membantu proses pemulihan TH adalah penting kerana berdasarkan akta sedia ada, kerajaan bertanggungjawab untuk menjamin semua deposit di TH,” katanya.

Seksyen 3 Akta Tabung Haji turut menyatakan bahawa TH merupakan sebuah institusi yang bersifat kekal dan berterusan.

Oleh demikian, bagi memulihkan institusi umat Islam ini, kerajaan bersama pengurusan baharu merangka pelan pemulihan TH iaitu melibatkan pemindahan aset yang mengalami kejatuhan nilai dan kurang berdaya saing kepada sebuah Syarikat Bertujuan Khas (SPV) milik kerajaan yang dikenali sebagai Urusharta Jemaah Sdn Bhd (UJSB).

Aset tersebut yang mempunyai nilai semasa RM9.7 bilion dipindahkan ke UJSB pada harga RM19.9 bilion dan dibayar dalam tiga bentuk iaitu dua sukuk yang masing-masing bernilai RM10 bilion dan RM9.6 bilion dengan pulangan sebanyak 4.05 peratus setahun dan 4.1 peratus setahun serta RM0.3 bilion dalam bentuk bayaran tunai.

Dalam menzahirkan komitmen ini, kerajaan akan membuat peruntukan sebanyak RM500 juta pada tahun 2020 dan seterusnya sebanyak RM1.73 bilion setahun sehingga semua sukuknya ditebus semula.

“Jumlah keseluruhan peruntukan kerajaan selama 10 tahun dianggarkan sebanyak RM17.8 bilion,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dalam satu petikan berita.

UJSB yang dimiliki penuh kerajaan mempunyai Ahli Lembaga Pengarah serta Ketua Pegawai Eksekutif yang terdiri dalam kalangan professional dan pakar kewangan beragama Islam.

Dakwaan bahawa urusan aset TH diambil alih oleh orang bukan Islam hanyalah merupakan naratif politik yang dimainkan sesetengan pihak.

Bagi memastikan kepentingan TH dan amnya umat Islam terpelihara, kerajaan memberikan hak keutamaan bagi TH mengambil semula aset yang telah dipulihkan serta berdaya saing di masa hadapan.

Melangkah ke depan dengan lebih yakin

Menurut Zukri, situasi pengagihan hibah rendah ini hanyalah bersifat sementara kerana kedudukan kewangan TH kembali pulih dan jurang defisit yang dialami berjaya ditutup.

Semua aset yang kurang berdaya saing digantikan dengan instrumen yang memberi pulangan menjangkau 4 peratus setahun dengan pulangan hampir RM800 juta setahun, manakala aset lain yang kekal pula boleh menjana pulangan yang kompetitif dan stabil.

Dijangka tiada lagi kejutan di masa hadapan kerana semua kerugian rosot nilai direkodkan pada tahun 2018, melibatkan jumlah hampir RM1.5 bilion.

Dengan tadbir urus yang baik, telus dan usaha penstrukturan berjalan lancar serta mendapat sokongan rakyat, tidak mustahil kadar agihan hibah pada kadar lebih tinggi pada masa depan.

“Menyimpan duit di TH bukan sahaja terjamin dan dapat memberi pulangan hibah tetapi turut membawa berkat kepada pendeposit. Ini kerana, pendapatan yang dijana daripada dana deposit akan digunakan untuk memberi bantuan subsidi kepada jemaah haji, di samping dizakatkan untuk kebajikan umat Islam.

“Jadi, adalah satu keberkatan kepada semua pendeposit apabila keuntungan yang dijana melalui simpanan mereka digunakan untuk membantu mereka yang mengerjakan haji.

“Ini mesej penting kerana masih ramai tidak tahu bahawa subsidi haji datang daripada pendeposit dan keuntungan pelaburan bukannya daripada kerajaan,” katanya. - Bernama