Program Anak Angkat Maybank-YPM terima suntikan motivasi

Semua pelajar yang terlibat di bawah Kem Motivasi Dan Kerjaya 2019 di MRSM Transkrian, Nibong Tebal bergambar selepas program tamat.
Semua pelajar yang terlibat di bawah Kem Motivasi Dan Kerjaya 2019 di MRSM Transkrian, Nibong Tebal bergambar selepas program tamat.
A
A
A

BUTTERWORTH - 87 orang anak angkat Maybank Islamic Berhad dan Yayasan Pelajaran Mara (YPM) dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak menyertai Kem Motivasi Dan Kerjaya 2019 di MRSM Transkrian, Nibong Tebal sebagai persediaan selepas menduduki SPM baru-baru ini.

Pengurus Kanan Bahagian khidmat Masyarakat YPM, Che Embun Bakar berkata, program tersebut menjadi pemangkin motivasi kendiri dan kepimpinan kepada pelajar-pelajar yang berada di bawah Skim Anak Angkat.

Menurutnya, YPM mahu menyemarakkan semangat pelajar-pelajar tesebut agar dapat menempuh pelbagai halangan semasa belajar dan seterusnya memberikan semangat tambahan dalam meneruskan pengajian di masa hadapan.

"Program ini juga secara tidak langsung turut memberikan peluang kepada pelajar mengenali diri sendiri dan menyesuaikan diri dalam bidang kerjaya yang akan diceburi kelak sebaik tamat persekolahan atau pun selepas tamat pengajian di peringkat universiti," katanya kepada Sinar Harian.

Che Embun berkata, kem motivasi ini diselaraskan oleh Persatuan Kaunseling Dan Psikologi Mara bagi memudahkan pergerakan Anak Angkat daripada rumah ke lokasi Kem dan bilangan peserta adalah lebih kurang 100 peserta bagi setiap zon.

"Ada empat zon di seluruh negara iaitu zon utara (MRSM Transkrian), Zon tengah (Kolej MARA Banting), zon selatan (KKTM Ledang) dan zon timur (MRSM Besut).

"Kos pelaksanaan seminar ini menggunakan sebahagian peruntukan Program Semarak Ilmu 2018 bagi pelaksanaan program bengkel, motivasi atau seminar yang dibahagikan mengikut Zon," katanya.

Tambahnya, program kem motivasi zon utara adalah kem kedua yang dijalankan selepas zon tengah iaitu melibatkan anak angkat dari Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan: