Keputusan pelaksanaan papan tanda tulisan jawi kekal

A
A

KUANTAN- Tarikh pelaksanaan penggunaan tulisan jawi papan tanda premis perniagaan seluruh daerah ini kekal 1 Ogos depan namun penguatkuasaan menyeluruh hanya akan bermula pada 1 Januari 2020.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Datuk Fadzilla Salleh berkata, walaubagaimanapun penguatkuasaan secara pendidikan dengan memberikan nasihat dan garis panduan, akan dilaksanakan selepas 1 Ogos itu.

“MPK tidak akan terus mengeluarkan kompaun bagi peniaga yang tidak dapat menukar papan tanda jawi. Kita faham kekangan masa, kewangan dan sebagainya namun itu tidak bermakna arahan pelaksanaan ini boleh diketepikan.

“Tindakan dalam bentuk nasihat dan pendidikan akan diberi terlebih dahulu. Malah MPK turut mengeluarkan garis panduan bagi memudahkan peniaga dan pemilik premis,” katanya kepada media pada program Pecah Tanah Projek Pembinaan Dewan Utama Paya Besar, semalam.

Sebelum ini, ADUN Teruntum, Sim Chon Siang dilaporkan berkata, pihaknya telah berbincang dengan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Pahang, Abd Rahim Muda untuk menunda tarikh pelaksanaan daripada 1 Ogos 2019 kepada 31 Disember 2019.

Menurutnya, perbincangan itu bagi membolehkan masa dan ruang diberikan kepada para peniaga premis di daerah ini untuk membuat persiapan pertukaran papan tanda.

Sementara itu, Abd Rahim ketika dihubungi mengesahkan ada berbincang dengan kedua-dua ADUN tersebut namun sebarang keputusan perlu merujuk kepada keputusan MPK dan pemilik premis perlu mematuhinya.