Lima janji ditunai dalam tempoh setahun

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan PH berjaya melaksanakan lima janji yang dikemukakan dalam Manifesto PRU14 dalam tempoh setahun ini sebagai usaha untuk mengurangkan beban kos sara hidup, kata seorang pakar ekonomi.

Pakar Ekonomi, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Adli Amirullah berkata, antara janji tersebut ialah memansuhkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan menggantikannya dengan Bantuan Sara Hidup serta memperkenalkan pas bulanan tanpa had My50 dan My100 untuk perkhidmatan pengangkutan awam.

“Dalam teras kos sara hidup, tidak ada satu pun teras yang gagal. Jumlah janji yang positif dan sedang dilaksanakan adalah sebanyak 23 janji, lima telah terlaksana manakala 18 lagi dalam proses.

“Ini adalah satu perkara yang baik kerana kita telah lihat kerajaan mempunyai kekuatan politik, ingin melaksanakannya dengan mengurangkan kos sara hidup rakyat tapi kerajaan juga perlu peka untuk melihat sesetengah janji ada kesan sampingannya jika dilaksanakan,” katanya dalam program Ruang Bicara di Bernama News Channel.

Adli berkata, kerajaan PH berjaya menstrukturkan semula BR1M yang sebelum ini digunakan sebagai alat politik untuk memancing undi golongan muda.

Sementara Bantuan Sara Hidup, katanya berjaya mencapai matlamat untuk membantu golongan yang lebih memerlukannya.

“Di situ kita boleh lihat fokus kerajaan untuk menumpukan golongan B40 dan ini sangat penting kerana mereka adalah golongan yang telah lama ditindas dan mereka perlu dilindungi oleh kerajaan,” tambahnya.

Sementara itu, Penyelidik Kanan Demokrasi dan Tabdir Urus, IDEAS, Aira Azhari berkata, kerajaan juga harus memahami realiti untuk melihat apa yang telah dicapai sepanjang setahun ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, rakyat mengundi PH pada 9 Mei tahun lepas kerana mereka sudah bosan dengan rasuah dan ketidaktelusan kerajaan Barisan Nasional.

“PH kena sedar bahawa majoriti rakyat sebenarnya hanya inginkan kehidupan mereka menjadi lebih baik. Mereka boleh memberikan pendidikan kepada anak-anak, penjagaan kesihatan yang bagus di hospital kerajaan.

“Dan itu adalah cabaran kepada PH iaitu bagaimana PH mahu memastikan bahawa rakyat menerima manfaatnya,” katanya.

Aira berkata, pada masa yang sama, kerajaan perlu bekerja dengan kekangan tertentu, misalnya berhadapan dengan bebanan hutang yang tinggi. - Bernama