Empat beradik di Kulai tiada pengenalan diri

Dari kanan, Fatimah, Nor Aliya, Mohd Lijan, Nor Hafisah, Jamaludin, Abdul Malik dan Ismail menunjukkan permohonan warganegara yang dimohon.
Dari kanan, Fatimah, Nor Aliya, Mohd Lijan, Nor Hafisah, Jamaludin, Abdul Malik dan Ismail menunjukkan permohonan warganegara yang dimohon.
A
A
A

KULAI - Impian empat beradik mahu bersekolah dan bekerja bagi membantu keluarga tidak kesampaian kerana tidak memiliki pengenalan diri termasuk sijil kelahiran.

Ahli Jawatankuasa Amanah DUN Pasir Raja, Abdul Malik Md Noh, 66, membawa Sinar Harian bertemu empat beradik tersebut yang tinggal bersama ibunya, Fatimah Che Ibrahim 53, di Kampung Tan Yok Fong, kelmarin.

Keadaan rumah yang uzur berdekatan landasan kereta api dan sungai membuatkan tiada siapa menyangka terdapat sebuah keluarga tinggal di situ.

Fatimah yang baharu pulih dari strok sedih memikirkan masa depan anaknya, Jamaludin, 22, Nor Hafisah, 21, Mohd Lijan, 20, dan Nor Aliya, 14, yang tidak memiliki pengenalan diri.

Katanya, Nor Hafisah sahaja ke sekolah sehingga darjah 6 atas belas ihsan dan budi bicara pihak sekolah.

Fatimah yang tidak tahu membaca kurang memahami prosedur permohonan warganegara bagi anak-anaknya. “Keempat-empat anak saya lahir di Kulai, tetapi bukti buku kelahiran telah hilang kerana ditenggelamkan banjir.

“Sebagai ibu, saya harap sekurang-kurangnya anak-anak saya ada kad identiti. Mereka tidak dapat sekolah, susah hendak kerja,” katanya. Fatimah berkata, bapa saudaranya, Ismail Ahmad, 63, yang tinggal di Felda Sungai Sayong, Kulai kerap membantu.

Ismail berkata, urusan permohonan warganegara sudah dibuat lebih enam tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, permohonan yang dibuat turut berdepan kesukaran memandangkan dia diminta mendapatkan surat nikah dan pengesahan dari kedutaan Thailand.

“Adik saya bernikah di selatan Thailand. Selepas itu mereka hidup berpindah-randah.

“Sebagai keluarga terdekat, saya sentiasa bantu anak-anak Fatimah. Pernah anak mereka ditahan pihak berkuasa, saya yang uruskan sehingga dibebaskan,” katanya.

Menurut Ismail, dia tidak sanggup melihat kesukaran dihadapi anak-anak saudaranya lebih-lebih lagi mereka tidak berpendidikan kerana tidak pernah bersekolah.

“Sampai bila mereka hendak bergantung dengan saya. Mereka perlu kerja dan jalani kehidupan seperti orang lain,” katanya.

Sementara itu, Abdul Malik berkata, pihaknya sudah membantu menguruskan permohonan pendaftaran warganegara anak-anak Fatimah sejak 2014 selepas menerima aduan dari Ismail.

Katanya, usaha dilakukan bagi mendapatkan sekurang-kurangnya sijil kelahiran bagi memudahkan urusan mereka.

“Jika diberi ruang, saya hendak jumpa Menteri Keselamatan Dalam Negeri,” katanya.